[VIDEO] SARA RM100 untuk semua rakyat Malaysia - PM
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Setiap warganegara dewasa berumur 18 tahun ke atas akan menerima RM100 sekali bayar melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Ia sebahagian daripada inisiatif penghargaan luar biasa untuk rakyat yang dimaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada minggu lalu.
Dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung melalui stesen televisyen tempatan sebentar tadi, Anwar berkata, bayaran SARA itu dibuat bersempena Sambutan Hari Kebangsaan 2025 pada hujung bulan depan.
"Bantuan ini boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos sehingga 31 Disember bagi membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya utama seperti
Mydin, Lotus, Econsave dan 99Speedmart serta kedai-kedai runcit di semua daerah seluruh negara," katanya.

Ujar beliau, bantuan tersebut diberikan secara individu dan bukannya isi rumah.
"Maknanya, sebuah isi rumah umpamanya suami, isteri dan dua orang anak dewasa akan dapat RM400," jelasnya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ikhtiar itu dijangka memanfaatkan 22 juta rakyat melibatkan peruntukan RM2 bilion.
"Mungkin ada dalam kalangan kita yang punyai kemampuan dan tidak memerlukan bantuan ini.
"Kerajaan berhasrat supaya jumlah bantuan yang tidak dibelanjakan menjelang akhir tahun diagihkan semula untuk program bantuan golongan rentan tahun hadapan," katanya.
SARA diperkenalkan oleh kerajaan pada tahun 2023 sebagai sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Madani untuk membantu golongan B40 mengurangkan beban kos sara hidup.
Pengumuman rasmi pertama mengenai SARA dibuat dalam Pembentangan Belanjawan 2023 pelaksanaan bermula pada 17 Januari 2023.
Seramai 5.4 juta penerima STR turut akan menerima bantuan tambahan SARA mulai April tahun lalu.
Ia terdiri daripada 700,000 penerima SARA sedia ada dan 4.7 juta penerima STR sedia ada yang tidak berada dalam rekod eKasih.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
