KPT bangunkan COPPA bagi rujukan piawaian, panduan wujud program berkualiti

Mustapha
Mustapha
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membangunkan Kod Amalan Akreditasi Program (COPPA) sebagai rujukan piawaian dan panduan bagi mewujudkan program berkualiti serta mengambil kira keperluan pasaran buruh.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, antara standard yang ditetapkan COPPA ialah institusi pendidikan tinggi (IPT) perlu menjalankan analisis keperluan dari segi kajian keperluan pasaran dan kebolehpasaran graduan sebelum sesuatu program diberi pertimbangan untuk penawaran.

Beliau menjelaskan, semakan semula secara berkala dan penambahbaikan akan terus dilaksanakan selepas program mula ditawarkan.

“Bagi kursus pengajian yang bernaung di bawah badan profesional, penawaran kursus turut memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Teknikal Bersama bagi memastikan kursus pengajian memenuhi Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).

“Bagaimanapun, kementerian masih memberi fleksibiliti kepada IPT untuk membangunkan kurikulum baharu atau menambah baik kurikulum sedia ada mengikut kehendak pasaran bagi memastikan kualiti kursus pengajian dan kurikulum adalah mantap serta pengalaman pelajar dapat lebih diperkaya,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa KPT menitikberatkan penglibatan pihak industri dalam membangunkan kurikulum kursus pengajian baharu serta menjajarkan semula kurikulum sedia ada bagi memenuhi keperluan industri dan teknologi semasa.

Menurutnya, ia boleh dilaksanakan melalui penawaran program secara Work-Based Learning (WBL) dan 2u2i (dua tahun di universiti, dua tahun di industri) berdasarkan panduan yang dikeluarkan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT).

“Dalam usaha membendung isu ketidaksepadanan penawaran kursus dengan keperluan semasa industri, kementerian turut melaksanakan pelbagai inisiatif antaranya program CEO@Faculty, CEO@PolyCC, Industry on Campus (IOC) dan Structured Internship Programme (SIP).

“KPT juga melaksanakan kolaborasi dengan kementerian dan agensi berkaitan seperti Kementerian Sumber Manusia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), TalentCorp, Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd (MDEC) dan LinkedIn Malaysia dalam memperkasakan kerjasama untuk menyokong keperluan tenaga kerja negara,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!