Kelaparan membunuh 21 kanak-kanak Gaza

Penduduk Palestin termasuk kanak-kanak kini bergantung penuh dengan agihan makanan daripada dapur kecemasan kendalian agensi bantuan. Foto Agensi
Penduduk Palestin termasuk kanak-kanak kini bergantung penuh dengan agihan makanan daripada dapur kecemasan kendalian agensi bantuan. Foto Agensi
A
A
A

GENTING GAZA - Malapetaka kemanusiaan di Genting Gaza semakin meruncing apabila sekurang-kurangnya 21 kanak-kanak meninggal dunia akibat malnutrisi dan kelaparan dalam tempoh 72 jam.

Keadaan terkini itu disahkan Ketua Hospital al-Shifa, Mohammed Abu Salmiya pada Selasa yang menjelaskan kematian itu direkodkan di beberapa kemudahan perubatan termasuk di al-Aqsa, Deir al-Balah dan Nasser di Khan Yunis.

Abu Salmiya memberi amaran kes baharu berkaitan kekurangan zat makanan dan kelaparan berlaku setiap saat di hospital yang masih berfungsi di wilayah berkenaan.

"Kita sedang menuju ke arah situasi yang kian membimbangkan," tambahnya.

Sementara itu, Agensi Pertahanan Awam Gaza menegaskan pesakit dengan keadaan kronik termasuk diabetes dan penyakit buah pinggang semakin berisiko dengan kebanyakan mereka mengalami komplikasi yang mengancam nyawa disebabkan kebuluran berpanjangan.

"Tindakan Israel menjadikan makanan sebagai 'senjata perang' mengakibatkan kecemasan perubatan yang meluas. Ia bukan hanya krisis, tetapi keruntuhan kehidupan di Gaza," kata jurucakapnya.

Susulan keadaan yang semakin mendesak, lebih 100 kumpulan bantuan menggesa negara antarabangsa bertindak segera bagi mengelakkan krisis kebuluran menjadi lebih buruk di Gaza.

Kenyataan ditandatangani 111 pertubuhan termasuk Mercy Corps, Majlis Pelarian Norway dan Pelarian Antarabangsa itu menuntut pelaksanaan gencatan senjata secara kekal serta menarik balik kesemua sekatan ke atas aliran bantuan kemanusiaan.

Stok makanan di Gaza semakin kehabisan sejak Israel memutuskan penghantaran bekalan penting ke wilayah itu sejak Mac lalu. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Info:

>Lebih 900,000 kanak-kanak Gaza kelaparan dengan kira-kira 70,000 budak memasuki tahap malnutrisi klinikal.

>Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) mendedahkan kakitangan mereka dan doktor jatuh pengsan akibat kelaparan teruk. Semua pihak termasuk petugas media juga terkesan akibat krisis kebuluran itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!