Infrasel pacu sistem selenggara jalan raya pintar

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamed Fariz Ghazali berkata, integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI) melalui sistem Road Network Defect Assessment (RONDA) dan Intelligent Road Assessment Application (IRAA) telah membuka dimensi baharu dalam pengurusan infrastruktur jalan raya.
“Sistem yang sedang dibangunkan ini bukan sekadar menerima aduan, tetapi mampu menganalisis data secara terperinci untuk membuat ramalan dan cadangan penyelesaian yang lebih tepat dan efi sien,” katanya semasa menerima lawatan kerja delegasi KKR yang diketuai oleh Ketua Komunikasi Korporat KKR, Yunus Tasim.
Tambah beliau, inovasi teknologi seperti RONDA yang diintegrasikan dengan media sosial akan lebih memudahkan penglibatan orang awam dalam melaporkan isu kerosakan jalan raya.

“Kami telah mewujudkan sistem penyaluran aduan yang mesra pengguna melalui aplikasi X dengan penggunaan tanda pagar khusus iaitu #NamaJalan #NamaDaerah #Infrasel dan #IRAA yang membolehkan tindakan pembaikan diambil dengan lebih pantas berdasarkan maklumat yang dikongsikan, ” jelasnya.
Dalam pada itu, Mohamed Fariz berkata, bagi kerja-kerja pembaikan cerun, Infrasel mengimplementasi penggunaan teknologi Building Information Modeling (BIM) yang merupakan langkah strategik dalam mendigitalisasikan operasi khususnya bagi kerja-kerja pemulihan cerun.
“Teknologi BIM merupakan teknologi moden yang menyimpan dan merekod kemajuan kerja-kerja pemulihan cerun dalam simpanan cloud drive bagi memudahkan kerja-kerja menjejak data,” tambahnya.
Menurut beliau, inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha syarikat untuk memastika projek-projek pemulihan cerun dapat dipantau dengan lebih efi sien dan sistematik.

Sementara itu, Yunus turut memuji inisiatif Infrasel yang dilihat sebagai pemangkin dalam evolusi pengurusan infrastruktur negara.
“Pendekatan inovatif yang diambil oleh Infrasel ini membuka mata kami terhadap potensi teknologi dalam meningkatkan kecekapan penyelenggaraan jalan raya.
“Malah, aplikasi RONDA dan IRAA merupakan model yang boleh dicontohi untuk penambahbaikan aplikasi MyJalan yang digunakan di peringkat persekutuan,” ujar Yunus.

Februari lalu, Infrasel turut menerima lawatan kerja bagi tujuan sama daripada Jabatan Kerja Raya Sabah yang diketuai oleh Ketua Pengarah JKR Sabah, Datuk Philemon Lajawai.
Lawatan strategik itu membuka ruang kerjasama antara JKR Sabah dan Infrasel untuk mempertingkatkan sistem pengaduan awam infrastruktur jalan raya yang lebih komprehensif dan responsif demi manfaat pengguna.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!