Aidilfitri: Tiada kerja selenggara jalan bermula 24 Mac hingga 7 April

SEREMBAN - Kerja-kerja penyelenggaraan jalan di semua lebuh raya membabitkan penutupan lorong dihentikan sementara mulai 24 Mac hingga 7 April sempena perayaan Aidilfitri ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bagaimanapun hanya kerja-kerja kecemasan saja dibenarkan sepanjang tempoh berkenaan.
Menurutnya, arahan itu dikeluarkan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas berikutan pertambahan jumlah kenderaan pada cuti perayaan.
"Masa perayaan ramai yang balik kampung dan biasa kita arahkan dari satu masa ke masa tiada kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan jalan dibuat kerana akan menganggu serta menyebabkan kesesakan.
"Jadi sempena Aidilfitri ini, larangan itu bermula 24 Mac hingga 7 April dan kita hanya benarkan kalau ada yang sangat mendesak atau kecemasan, yang lain ditangguhkan dulu," katanya.
Beliau berkata demikian ditemui pemberita selepas merasmikan pembukaan Jalan Persekutuan FT51 Seremban-Kuala Pilah di sini pada Jumaat.
Menurutnya, keputusan penetapan tarikh tersebut selaras dengan tarikh penguatkuasaan operasi oleh semua agensi-agensi penguatkuasaan seperti pihak Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Sementara itu ditanya berkenaan diskaun tol sempena Aidilfitri, beliau berkata, ia akan diteruskan seperti mana dilaksanakan ketika sambutan Tahun Baharu Cina dan akan diumumkan dalam waktu terdekat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

