Pahang tawar 'fast track' tanpa kompromi peraturan, asalkan projek berdaya maju - Wan Rosdy

Wan Rosdy (tengah) bersama Mohd Faizal (tiga dari kiri) dan Nazri (tiga dari kanan) memotong kek sambutan ke-60 PKNP.
Wan Rosdy (tengah) bersama Mohd Faizal (tiga dari kiri) dan Nazri (tiga dari kanan) memotong kek sambutan ke-60 PKNP.
A
A
A

JERANTUT – Kerajaan negeri akan memberikan sedikit kelonggaran, namun masih mengikut peraturan yang ditetapkan bagi melonjakkan pembangunan di kawasan Pahang Barat.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata demikian susulan pelaksanaan projek pembangunan Jerantut Square di daerah ini.

Menurutnya, kerajaan negeri mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin melaksanakan pembangunan di daerah-daerah terlibat.

“Kita akan beri keutamaan dan laluan pantas (fast track) tanpa mengkompromikan peraturan sedia ada, dengan syarat projek itu berdaya maju dan memberikan manfaat kepada rakyat setempat. Maka, tiada masalah.

“Namun, kita tidak beri terus kerana terdapat jawatankuasa pelaburan dan majlis daerah yang terlibat dalam perkara tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Sambutan 60 Tahun Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dan Pahang Rest House serta pelancaran Jerantut Square di sini pada Selasa.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Nazri Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif PKNP, Datuk Mohd Faizal Jaafar.

Menurut beliau, projek Jerantut Square yang bernilai RM130 juta merupakan usaha sama antara PKNP dan Kumpulan Jaya Depan Sdn Bhd, dan dijangka siap pada suku keempat tahun depan.

“Ia dijangka mewujudkan lebih 1,000 pekerjaan secara langsung dan 5,000 pekerjaan secara tidak langsung dalam sektor pelancongan, perkhidmatan dan peruncitan.

Artikel Berkaitan:

“Saya yakin, apabila siap kelak, Jerantut Square akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi tempatan, merancakkan aktiviti perniagaan dan seterusnya meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk di daerah Jerantut dan kawasan sekitarnya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Wan Rosdy memaklumkan bahawa sejak ditubuhkan, PKNP telah muncul sebagai institusi penting yang menjadi nadi kepada kemajuan negeri Pahang.

“Sepanjang tempoh tersebut, PKNP kekal teguh sebagai antara pemacu utama pembangunan negeri, merancang dan melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi impak besar kepada ekonomi serta kesejahteraan rakyat Pahang.

“PKNP telah memainkan peranan yang menyeluruh sebagai pemilik aset strategik negeri, pelabur utama, rakan kepada komuniti perniagaan dan usahawan tempatan, serta pemudah cara kepada pelaburan asing,” tambahnya.

Pada tahun lalu, PKNP berjaya menarik pelaburan berjumlah RM3.69 bilion, menjadikannya antara pemangkin utama ekonomi negeri.

Sempena sambutan ke-60, PKNP melaksanakan 22 program yang menekankan pelbagai aktiviti masyarakat, sukan dan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di seluruh daerah di Pahang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!