Wan Rosdy alu-alukan anak Pahang kembali tabur kepakaran dan pengalaman

TEMERLOH - Kerajaan negeri mengalu-alukan anak-anak Pahang yang ingin pulang menyumbang kepakaran dan pengalaman mereka ekoran prestasi cemerlang pelaburan di negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata sedemikian ketika ditanya susulan pencapaian nilai pelaburan Pahang setakat ini tertinggi di Pantai Timur mencecah RM4 bilion sehingga Jun lalu.
Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa terbuka dengan pelbagai usaha yang dilakukan untuk menyediakan peluang pekerjaan yang banyak untuk rakyat.
"Semalam (Ahad) saya bersama dengan anak Pahang yang berada di Muar.
"Mereka walaupun berada di negeri orang tetapi kalau ada peluang, tawaran yang lebih baik, mereka sanggup balik ke Pahang," katanya.
Beliau berkata sedemikian selepas merasmikan Karnival Bubur Asyura Peringkat Negeri Pahang di pekarangan Surau Paya Laman, Lanchang di sini pada Isnin.
Turut hadir, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman.
Sebanyak 33 pasukan mengambil bahagian dalam pertandingan tahunan anjuran JAIP kali ini.

Pada majlis itu juga, Wan Rosdy menyerahkan Inisiatif Makmur Pahang, wang tunai RM750 setiap seorang di bawah Program Baraqah Haji Pahang membabitkan 46 jemaah haji yang lewat mendapat surat tawaran.
Ujar beliau, dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang turut bertambah akan menyebabkan lebih banyak peluang pekerjaan dapat disediakan untuk rakyat Pahang.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai berita gembira yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim nanti, beliau mengharapkan berita baik itu dapat dinikmati oleh seluruh rakyat termasuk di Pahang.
"Perdana Menteri sudah beritahu ia satu pengumuman yang baik, jadi kita tunggulah.
"Saya pun tidak tahu, tidak ada siapa yang tahu," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

