X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pagi ini

A
A

RINGGIT dibuka rendah berbanding dolar AS pada pagi ini meneruskan penurunan pada Jumaat minggu lepas di tengah-tengah kebimbangan penularan koronavirus (Covid-19) serta penurunan harga minyak mentah dunia, kata seorang peniaga.

Pada 9.02 pagi, mata wang tempatan turun kepada 4.2900/2970 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.2750/2800 pada Jumaat.

Menurut satu kenyataan daripada Kementerian Kesihatan, negara melaporkan peningkatan terbesar kes Covid-19 dalam satu hari sejak wabak itu bermula pada 25 Januari iaitu sebanyak 190 kes pada Ahad.

Jumlah pesakit yang dijangkiti Covid-19 adalah seramai 428 di negara ini, menjadikan Malaysia negara paling teruk terjejas oleh pandemik itu di Asia Tenggara.

Peniaga itu berkata pasaran ekuiti dan minyak global terjejas disebabkan oleh ketidakpastian apabila para pelabur menilai kesan ekonomi daripada Covid-19 dan perang harga minyak mentah Rusia-Arab Saudi yang menyebabkan harga komoditi itu jatuh menjunam.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0254/0314 daripada 3.0360/0406 dan naik berbanding yen Jepun kepada 4.0127/0204 daripada paras penutup 4.0228/0279 pada Jumaat.

Ringgit naik berbanding pound Britain kepada 5.2904/3008 daripada 5.3822/3902 dan menokok berbanding euro kepada 4.7688/7783 daripada 4.7730/7790.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus