Orang tempatan jadi ‘tali barut’

Erwan Shah (tengah) menunjuk peta lokasi penahanan bot pancung yang membawa muatan rokok seludup di perairan Kelantan hasil risikan dan rondaan Maritim Malaysia.
FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
Erwan Shah (tengah) menunjuk peta lokasi penahanan bot pancung yang membawa muatan rokok seludup di perairan Kelantan hasil risikan dan rondaan Maritim Malaysia. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU – Sindiket penyeludupan rokok dikesan semakin licik mengeksploitasi laluan laut di perairan Kelantan, selepas taktik lama menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok lumpuh sejak Disember tahun lalu.

Perubahan modus operandi itu sekali gus menyaksikan peningkatan mendadak nilai rampasan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini dengan jumlah keseluruhan mencecah RM16.38 juta.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, sindiket penyeludupan makin berani menggunakan bot laju fiber berkapasiti dua enjin sangkut untuk bergerak pantas dan melakukan pendaratan di lokasi tidak sah pada waktu malam.

Erwan Shah
FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
Erwan Shah FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID

“Merujuk kepada rekod pada November tahun lepas, rampasan berjumlah RM530,090 dibuat membabitkan 79 peti rokok.

“Namun tahun ini bagi tempoh Januari hingga April lalu, jumlahnya melonjak kepada RM16.38 juta melibatkan 2,225 peti,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan antara modifikasi taktik utama sindiket termasuk penggunaan bot laju pada waktu malam untuk mengelak dikesan radar atau aset penguat kuasa.

“Bot fiber ini juga digunakan sebagai bot peninjau untuk memastikan laluan selamat sebelum penghantaran rokok seludup dilakukan.

Artikel Berkaitan:

Erwan Shah (tengah) menunjukkan bot pancung yang dipercayai digunakan sindiket untuk menyeludup rokok.
FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
Erwan Shah (tengah) menunjukkan bot pancung yang dipercayai digunakan sindiket untuk menyeludup rokok. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID

“Mereka menyasarkan kawasan pendaratan tidak sah yang sukar dicapai,” katanya.

Tambah beliau, antara kawasan panas yang dikenal pasti termasuk perairan sempadan Malaysia-Thailand dan laluan Sungai Kelantan, sekali gus menjadikan rondaan dan risikan di kawasan tersebut sebagai fokus utama Maritim.

Beliau juga mengesahkan penglibatan individu tempatan sebagai tekong, penunjuk arah dan pengangkut barang dengan bayaran yang lumayan.

Erwan Shah (kiri) menunjukkan rokok seludup pelbagai jenama yang dirampas dalam operasi di perairan negeri ini.
FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
Erwan Shah (kiri) menunjukkan rokok seludup pelbagai jenama yang dirampas dalam operasi di perairan negeri ini. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID

“Tekong boleh menerima antara RM500 hingga RM1,500 setiap perjalanan, manakala penunjuk arah atau pengangkut barang di darat menerima sekitar RM200 hingga RM500 bergantung kepada risiko.”

Mengulas cabaran operasi, beliau berkata, sindiket dipercayai mendapat maklumat pergerakan aset Maritim daripada orang tempatan yang menjadi ‘tali barut’ dan menyebabkan operasi dibocorkan.

“Satu lagi kekangan ialah kekurangan aset seperti bot rondaan dan radar pengawasan yang menjejaskan liputan pemantauan di seluruh perairan Kelantan,” katanya.

Sebagai langkah jangka panjang, Maritim Malaysia memperkukuh kerjasama strategik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen selain turut terlibat secara aktif dalam Combined Maritime Working Group (CMWG) iaitu jawatankuasa sempadan maritim Malaysia–Thailand.

Enjin bot pancung berkuasa tinggi yang digunakan sindiket penyeludupan rokok untuk melarikan diri melalui laluan laut di perairan Kelantan. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
Enjin bot pancung berkuasa tinggi yang digunakan sindiket penyeludupan rokok untuk melarikan diri melalui laluan laut di perairan Kelantan. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID

“Kami juga dalam perancangan memperluas penggunaan teknologi pemantauan seperti radar dan dron bagi memantau kawasan lebih luas secara berterusan,” katanya.

Beliau mengakui penutupan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok menjadi pemangkin utama kepada lonjakan kegiatan penyeludupan melalui laut.

“Sindiket beralih kepada laluan Maritim, bagaimanapun Maritim terus mempergiat risikan, rondaan harian serta memperkukuh kerjasama antara agensi bagi mengekang kegiatan sindiket yang makin agresif,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!