X

Kindly register in order to view this article
!

Sasaran 1,200 agropreneur muda

Jelajah Agroprenuer Muda 2020 menyantuni kumpulan usahawan muda daerah Seberang Perai Utara di Pulau Pinang semalam.
A
A

SEBERANG PERAI - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menyasarkan seramai 1,200 usahawan menyertai Program Agropreneur Muda pada tahun ini bagi tujuan latihan dan bantuan.

Timbalan Ketua Setiausaha Dasar, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, setiap usahawan yang menyertai program tersebut akan diberi bantuan berbentuk geran iaitu barangan untuk membantu meningkatkan pengeluaran hasil dan pendapatan agroprenuer.

Menurutnya, program tersebut melibatkan bidang tanaman, ternakan, perikanan, industri asas tani, agropelancongan dan pemasaran yang boleh diceburi usahawan berusia antara 18 hingga 40 tahun.

“Di bawah program agroprenuer yang bermula sejak tahun 2016, kita mengadakan Jelajah Agroprenuer Muda (JAM) 2020 dan hari ini (kelmarin) kita di Zon Utara.

“Ini merupakan edisi kedua. Edisi pertama diadakan pada Oktober tahun lalu. Sejak program ini dijalankan, kita mempunyai lebih 5,000 peserta,” katanya kepada media di sini kelmarin.

Sementara itu, pengusaha dodol, G Devandaran berkata, bantuan dua buah mesin memasak dodol enzim yang diterima banyak membantunya meningkatkan produktiviti produk beliau.

Devandaran yang memulakan perniagaan pada tahun 2017 dengan hanya menggunakan kereta untuk jualan kini mempunyai lebih 20 produk untuk dieksport ke Dubai, Mexico, Singapura, Amerika Syarikat, China dan Indonesia.

“Dahulu saya hanya mampu membuat jualan sebanyak RM6,000 sebulan tetapi kini meningkat sehingga RM250,000 sebulan,” katanya.

Pengusaha santan, Shahril Farid Ishak pula berkata, melalui bantuan sebanyak empat buah mesin parut dan memerah kelapa, dia berhasrat meluaskan perniagaannya dengan menghasilkan santan kotak dan memasarkannya ke seluruh negeri.

Menurutnya, sebelum menerima bantuan tersebut, keuntungan yang diperolehnya sekitar RM4,000 sebulan tetapi kini meningkat sehingga RM6,000 sebulan.

Pengarah Operasi Eyda Icecream, Borhan Din turut berkongsi perkembangan positif melalui bantuan mesin aiskrim yang diterimanya apabila beliau mampu menjana pendapatan daripada RM20,000 sebulan kepada RM30,000 sebulan.

Bagi Md Zuhaimi Samat, dia yang memulakan perusahaan madu kelulut pada 2013 dengan lima koloni kelulut kini berjaya memiliki sebanyak 150 koloni di taman seluas dua hektar.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus