Isytihar harta kepada SPRM jadi langkah pencegahan, tingkat akauntabiliti - Azam Baki

Azam (kiri) menerima sebanyak 13 Borang Perisytiharan Harta CEO dan Ketua Syarikat Operasi syarikat-syarikat di bawah daripada Rosman di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Isnin. Foto SPRM
Azam (kiri) menerima sebanyak 13 Borang Perisytiharan Harta CEO dan Ketua Syarikat Operasi syarikat-syarikat di bawah daripada Rosman di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Isnin. Foto SPRM
A
A
A

PUTRAJAYA – Langkah kerajaan mewajibkan ketua pegawai eksekutif (CEO) di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan langkah pencegahan bagi meningkatkan akauntabiliti masing-masing.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, menerusi pengisytiharkan harta ini, masyarakat dapat menilai bahawa setiap ketua organisasi tidak akan sewenang-wenangnya meningkatkan kekayaan menerusi kedudukan mereka.

“Apabila semua CEO ini mengisytiharkan harta kepada SPRM, mereka lebih berhati-hati dalam tindakan.

"Ini kerana sebarang usaha untuk menggunakan kedudukan bagi mengumpul kekayaan akan mudah dikenal pasti,” katanya selepas menerima sebanyak 13 Borang Perisytiharan Harta CEO dan Ketua Syarikat Operasi syarikat-syarikat di bawah Kumpulan Boustead Holdings Berhad (BHB) di sini pada Isnin.

Penyerahan borang itu dibuat oleh Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Jabatan Integriti dan Governans BHB, Rosman Johar Abdullah.

Sementara itu, Rosman berkata, penyerahan borang pengisytiharan harta adalah selaras dengan arahan kerajaan yang mewajibkan CEO di GLC dan GLIC untuk mengisytiharkan harta kepada SPRM.

Tambah Rosman, tindakan kerajaan ini perlu disokong semua pihak bagi memastikan amalan rasuah bukan sahaja mesti dibanteras, bahkan perlu dicegah daripada awal sebelum ia berlaku.

Turut hadir Penolong Naib Presiden Jabatan Integriti dan Governans BHB, Wan Azlee Wan Mohd Ghazali dan Pegawai Khas Kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Mohd Fadzil Md Amin.

Pada September 2022, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) memutuskan mekanisme perisytiharan harta Anggota Pentadbiran, Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara oleh SPRM akan diperkukuhkan bagi memantapkan kredibiliti serta integriti pentadbiran kerajaan.

Artikel Berkaitan:

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!