X

Kindly register in order to view this article
!

Teliti semula pakej rangsangan ekonomi hadapi Covid-19

Dr Lee Boon Chye
Dr Lee Boon Chye
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye menggesa kerajaan Perikatan Nasional meneliti kesesuaian pakej rangsangan ekonomi yang pernah diumumkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

Ahli Parlimen Gopeng itu berkata, penelitian semula itu penting bagi menentukan sama ada pakej diumumkan itu benar-benar menampung keperluan beberapa industri utama yang terjejas akibat penularan wabak pandemik koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, penelitian semula pakej rangsangan ekonomi itu merangkumi keperluan sama ada ianya perlu ditambah baik atau diteruskan dengan tawaran disediakan sebelum ini.

"Sehingga sekarang, saya melihat kerajaan Perikatan Nasional masih tiada hala tuju jelas dalam mencari penyelesaian berkaitan permasalahan utama negara ketika ini iaitu pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi serius.

"Selain itu, saya selaku bekas Timbalan Menteri Kesihatan melihat masalah penularan Covid-19 tidak terkawal seperti sebelum ini.

"Justeru saya mencadangkan kerajaan PN meneliti semula pakej rangsangan ekonomi diumumkan sebelum ini bagi memastikan lebih banyak sektor industri terjejas mendapat manfaat,"katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian.

Boon Chye yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, masalah Covid-19 turut memberi kesan langsung kepada penurunan mendadak harga pasaran minyak mentah dunia yang kini jatuh menjunam kepada ASD$30 (RM128.36) setong.

Menurutnya, senario kejatuhan teruk harga minyak mentah dunia sebenarnya memberi implikasi sangat negatif kepada ekonomi negara kerana situasi itu akan menjejaskan pendapatan syarikat cari gali negara, Petronas.

"Adalah penting untuk kerajaan baharu ini berusaha merancang semula ekonomi negara yang lebih mampan dalam mendepani cabaran ekonomi global dan pandemik terbesar.

"Covid-19 terbukti memberi impak besar kepada industri pelancongan dan penerbangan. Saya harap kerajaan Perikatan Nasional tidak hanya sekadar pandai berpolitik, tetapi memikirkan solusi terbaik menyelesaikan masalah ekonomi kritikal kini," katanya.

Terdahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu menjadi Perdana Menteri Interim melancarkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM20 bilion yang ditunjangi oleh tiga strategi.

Menurutnya, tiga strategi itu ialah menangani impak Covid-19 memangkinkan pertumbuhan berteraskan rakyat dan menggalakkan pelaburan berkualiti.

Dua minggu lalu, Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan jentera kerajaan mempercepatkan pelaksanaan Belanjawan 2020 dan pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan Dr Mahathir.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!