Seleweng minyak masak bersubsidi, LKAN syor tambah baik edaran

SHAH ALAM - Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 yang dikeluarkan pada Isnin mengesyorkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menambah baik sistem edaran minyak masak bersubsidi kepada semua peringkat pengedar, pembekal dan penjual di seluruh negara.
Hal ini susulan laporan itu memaklumkan terdapat kegiatan minyak masak bersubsidi dijual kepada golongan tidak layak oleh syarikat pembungkus, pemborong dan peruncit sehingga menjejaskan bekalan untuk keperluan isi rumah di negara ini.
Laporan itu memaklumkan, penemuan terbabit dikesan melalui lawatan audit ke beberapa premis di Kelantan, Terengganu dan Sarawak pada tahun lepas.
"Lawatan audit ke sebuah premis peruncit di Kelantan yang dimiliki oleh sebuah syarikat pada 23 Julai 2024 mendapati syarikat tersebut telah beroperasi sebagai kedai makan dan menyimpan sebanyak 204 kilogram (kg) atau 12 kotak minyak masak bersubsidi di premis terbabit.
"Bagi tahun 2024, syarikat itu didapati membeli sebanyak 11,390kg minyak masak bersubsidi daripada lima syarikat pembungkus," kata laporan audit itu pada Isnin.
Menurut laporan itu lagi, semak silang terhadap buku stok syarikat peruncit dengan salah sebuah syarikat pembungkus juga mendapati bahawa tiga transaksi belian sebanyak 561kg berjumlah RM1,386 pada bulan Januari dan Februari 2024 tidak direkodkan dalam buku stok peruncit.
Selain itu, laporan itu turut mendedahkan buku stok pemborong yang berlokasi di Kuala Terengganu bagi Januari 2023 hingga Jun 2024 menunjukkan berlaku penjualan minyak masak bersubsidi kepada tiga golongan tidak layak termasuklah sebuah restoran.
Bagaimanapun katanya, restoran terbabit menafikan premis itu pernah membeli minyak masak bersubsidi daripada pemborong tersebut.
"Semakan lanjut terhadap buku stok pemborong itu bagi tempoh tahun 2023 dan 2024 mendapati 189 transaksi jualan minyak masak bersubsidi sebanyak 31,059kg berjumlah RM77,647.50 tidak mempunyai perincian nama pembeli tetapi butiran jualan dicatatkan sebagai ‘cash sale’," ujarnya lagi.
LKAN memaklumkan, semakan audit pada 18 Julai 2024 terhadap rekod jualan syarikat pemborong di Miri, Sarawak pula mendapati 2,280kg minyak masak yang bernilai RM5,700 telah diedarkan secara percuma bagi tempoh April hingga Julai 2024 kepada individu yang tidak memiliki lesen yang sah.
"Berdasarkan temu bual, syarikat pemborong memaklumkan pengedaran secara percuma dibuat disebabkan individu tersebut mewakili persatuan penduduk atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sekitar Sarawak," tambahnya.
Dalam pada itu, LKAN turut mendedahkan purata pengeluaran minyak masak bersubsidi di pasaran bagi tempoh 2019 hingga 2024 hanya mencapai 82.6 peratus daripada kuota siling bekalan ditetapkan.
"Penemuan audit mendapati subsidi minyak masak dikategorikan sebagai subsidi pukal yang diberikan kepada golongan sasar, namun golongan tidak layak termasuk bukan warganegara turut menikmati subsidi itu apabila mereka membeli barangan tersebut.
"Semakan audit mendapati dasar sedia ada tidak menetapkan syarat kelayakan terhadap pembelian minyak masak bersubsidi," menurutnya.
LKAN turut memaklumkan, prosedur operasi standard (SOP) Program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) berkuat kuasa pada 1 Oktober 2023 menjelaskan anggaran keperluan terkini penggunaan minyak masak rakyat Malaysia adalah 1.5kg sebulan bagi seorang penduduk.
Namun jelasnya, semakan audit mendapati tiada justifikasi yang jelas berkenaan asas penetapan 60,000 metrik tan minyak masak sebulan bagi penduduk di Malaysia.
Menurutnya, keperluan penggunaan minyak masak sebanyak 1.5 kg sebulan bagi setiap penduduk juga tidak disokong dengan kajian keperluan sebenar.
Justeru, LKAN berpandangan penetapan kuota 60,000 metrik tan sebulan bagi pengeluaran minyak masak bersubsidi tidak disokong oleh kajian komprehensif mengenai keperluan sebenar penggunaan minyak masak berdasarkan corak penggunaan domestik terkini.
Menurut laporan itu lagi, ketiadaan peraturan yang jelas berhubung kriteria golongan yang layak membeli minyak masak bersubsidi sudah menyebabkan warga asing turut menikmati subsidi itu memandangkan tiada tindakan penguatkuasaan yang boleh diambil akibat ketiadaan peraturan yang khusus.
Selain itu, LKAN turut mendedahkan kaedah perolehan Pre-Q terpilih yang diperkenalkan Kementerian Kewangan (MoF) turut didapati mempunyai ruang manipulasi apabila syarikat tidak layak tetap dipilih ke peringkat akhir.
Menurut laporan berkenaan, ini kerana terdapat syarikat yang tidak memenuhi kriteria penilaian pada peringkat pertama atau tidak dipelawa tetapi terpilih dan dinilai pada peringkat kedua, malah proses perolehan juga mengambil masa lama dan melebihi tempoh ditetapkan.
"Syor Audit supaya kaedah Perolehan Pre-Q Terpilih tidak wajar diteruskan dan kaedah perolehan tender terbuka adalah lebih sesuai dilaksanakan bagi memastikan akauntabiliti dan ketelusan dalam proses perolehan,"dedah laporan audit itu lagi.
Laporan penuh boleh diakses oleh orang awam mulai jam 10 pagi Isnin menerusi laman sesawang rasmi: http://lkan.audit.gov.my dan https://agdashboard.audit.gov.my.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

