Nasib ibu bapa Zayn Rayyan masih jadi teka-teki

PETALING JAYA – Ibu bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matin hadir di Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi mendengar keputusan di akhir kes pendakwaan berhubung pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme itu, dua tahun lalu.
Pasangan suami isteri, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, masing-masing berusia 30 tahun, tiba di mahkamah sekitar jam 8 pagi.
Zaim dilihat mengenakan kemeja berwarna biru muda manakala Ismanira memakai baju berwarna hitam. Mereka turut diiringi oleh bapa Zaim, Mohd Reba, 56 tahun, serta adik perempuan Ismanira.
Sehingga jam 10.50 pagi, keputusan masih belum diumumkan dan sama ada pasangan itu akan dipanggil untuk membela diri atau dibebaskan kekal menjadi persoalan.
Pekarangan mahkamah dipenuhi wartawan daripada pelbagai agensi media, manakala beberapa anggota polis berkawal bagi memastikan keselamatan sepanjang prosiding.
Mengikut pertuduhan pindaan, pasangan tersebut didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6 tahun, kerana telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan anak sungai berhampiran, antara jam 12 tengah hari pada 5 Disember 2023 hingga jam 9.55 malam keesokan harinya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut di Mahkamah Sesyen di sini.
Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023 sebelum ditemui meninggal dunia kira-kira jam 10 malam keesokan harinya di anak sungai berhampiran Pangsapuri Idaman, Damansara Damai. Jarak penemuan mayatnya dianggarkan sekitar 200 meter dari blok kediamannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

