Zaim Ikhwan, Ismanira tiba di mahkamah keputusan kes abai Zayn Rayyan

PETALING – [DIKEMAS KINI] Ibu bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matin tiba di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin bagi mendengar keputusan di akhir kes pendakwaan berhubung satu pertuduhan pengabaian terhadap kanak-kanak autisme itu, dua tahun lalu.
Zaim Ikhwan Zahari yang memakai kemeja berwarna biru muda, manakala isterinya, Ismanira Abdul Manaf mengenakan baju berwarna hitam, hadir memasuki mahkamah sekitar jam 8 pagi.
Mereka turut diiringi oleh bapa Zaim Ikhwan, Zahari Mohd Reba, 56, serta adik kepada Ismanira.
Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pengabaian terhadap anak mereka di Mahkamah Sesyen di sini.
Mengikut pertuduhan pindaan, pasangan tersebut didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, kerana telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam keesokan harinya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, pada jam 10 malam.
Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang sebelum ditemui terbaring kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

