Tinggalkan Zayn Rayyan di belakang elemen pengabaian - Polis

PETALING JAYA – Pegawai penyiasat kanan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis bahawa, tindakan Ismanira Abdul Manaf meninggalkan anaknya, Zayn Rayyan Abdul Matin dengan berjalan di hadapan, sehingga kanak-kanak autistik itu hilang pada 5 Disember 2023, menunjukkan wujud elemen pengabaian.
Asisten Superintenden (ASP) Mohd Hafizee Ismail berkata demikian ketika perbicaraan hari ke-20, kes pengabaian dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal membabitkan Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan isterinya, Ismanira, 30.
Semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Mohd Hafizee, 38, berkata, tindakan Ismanira membiarkan mangsa berada di belakang, menyebabkan pandangan terhadap anak sulung itu terbatas.
“Tertuduh kedua ini tidak dapat melihat di bahagian belakang, seolah-olah membiarkan mangsa tanpa pengawasan.
“Mengenai isu dikejar pula, saya telah menyiasat perkara berkenaan dan mendapati seorang saksi kanak-kanak mengesahkan, tiada sesiapa yang mengejar Zayn Rayyan, pada hari dia dilaporkan hilang,” katanya yang ketika kejadian bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.
Pendakwaan: Ketika prosiding pada Rabu, peguam pembelaan mencadangkan, semua 27 saksi yang dipanggil memberi keterangan mahkamah, tidak memberitahu wujud elemen pengabaian dan tuan menjawab tidak pasti, jelaskan kenapa tuan tidak pasti?
Mohd Hafizee: Saya jawab tidak pasti kerana tidak tahu apa keterangan yang mereka berikan di mahkamah.
Pendakwaan: Peguam juga memberitahu, tiada saksi nampak dua tertuduh ini atau salah seorang daripadanya, berada di sungai, tempat Zayn Rayyan ditemui, tuan setuju dengan cadangan itu jelaskan kenapa?
Mohd Hafizee: Saya jawab tiada saksi, sebab soalan peguam ialah merujuk kepada saksi-saksi yang lihat dua tertuduh itu di sungai.
Bagaimanapun, beliau yang kini bertugas sebagai Pegawai Risikan Operasi di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan berkata, semua saksi yang hadir memberi keterangan di mahkamah adalah kompeten.
Katanya, ia bergantung kepada mahkamah untuk menilai keterangan mereka kerana hasil siasatan yang dilakukan, memang wujud elemen pengabaian dilakukan dua tertuduh berkenaan.
Pada Rabu, saksi ini berkata, tiada seorang pun daripada 27 saksi pendakwaan yang dipanggil ke mahkamah, pernah menyatakan ibu bapa Zayn Rayyan Abdul mengabaikannya pada hari kejadian.
Beliau juga bersetuju bahawa tiada seorang saksi yang ternampak mereka berada di sungai berkenaan, sebelum mayat ditemui.
Pegawai yang berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak Januari 2013 itu juga bersetuju dengan cadangan peguam bahawa, ibu bapa Zayn Rayyan tidak mengabaikan kesihatan anak mereka, selain tiada kesan kecederaan lama yang boleh menunjukkan mangsa pernah didera.
Pada prosiding itu, ketika pemeriksaan balas, peguam, Haresh Mahadevan, menyoal Mohd Hafizee mengenai definisi pengabaian tersebut.
Mohd Hafizee: Untuk kes ini, definisi pengabaian ialah merujuk kepada tindakan yang dilakukan seseorang yang mempunyai hak penjagaan terhadap mangsa, telah membiarkan atau mengabaikannya dari segi fizikal atau mental.
Peguam: Di baris mana di dalam laporan polis yang dibuat Ismanira, mengatakan dia telah meninggalkan Zayn Rayyan seorang diri?
Mohd Hafizee: Baris ketiga, iaitu ayat ‘telah tiada di belakang saya’.
Haresh: Jadi tuan samakan ayat ‘tiada di belakang saya’ sebagai pengabaian?
Mohd Hafizee: Betul.
Dalam prosiding ini, pihak pendakwaan turut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi manakala bagi pihak pembelaan turut dihadiri ialah peguam, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.
Pada Khamis, Hakim, Dr Syahliza Warnoh menetapkan 21 Julai depan untuk keputusan sama ada ibu bapa Zayn Rayyan itu dibebaskan atau diperintah bela diri atas kes pengabaian.
Beliau memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memaklumkan prosiding perbicaraan kes selesai dan mereka menutup kes berkenaan selepas 28 saksi hadir memberi keterangan dalam perbicaraan yang berlangsung selama 20 hari, bermula 4 Februari lalu.
Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pengabaian pada anak mereka, di Mahkamah Sesyen di sini.
Mengikut pertuduhan pindaan, pasangan itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam, keesokannya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, jam 10 malam.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring, dengan jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

