Anwar perjelas nama Ketua Hakim Negara dikemuka lebih awal sebelum negara ‘riuh’

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar dakwaan kononnya beliau telah membuat pertukaran nama calon Ketua Hakim Negara pada saat akhir.
Menurut beliau, nama Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai calon telah pun dikemukakan lebih awal untuk diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengikut proses yang ditetapkan.
“Nama calon telah dikemukakan lebih awal, sebelum negara ‘riuh’.
“Kita hanya tunggu giliran Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 15 dan 16 Julai lalu. Pelantikan-pelantikan lain seperti hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan juga telah dikemukakan dua bulan atau dua bulan setengah lebih awal.
“Semuanya ikut proses. Tiada siapa boleh mendahului perkenan Tuanku dan rundingan Majlis Raja-Raja,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini pada Isnin.
Anwar mengulas mengenai polemik yang tercetus minggu lalu sehingga menimbulkan pelbagai tohmahan terhadap sistem kehakiman dan institusi Perdana Menteri.
Beliau menjelaskan, pelantikan melibatkan badan kehakiman memerlukan cadangan daripada Perdana Menteri seperti diperuntukkan dalam Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan sebelum diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dan dirunding bersama Majlis Raja-Raja.
“Saya tidak boleh mendahului. Kita ikut proses pun mereka marah. Mahu saya beri jaminan itu ini. Maka saya diam dahulu sehinggalah proses selesai," katanya.
Anwar mendedahkan seramai lapan hakim Mahkamah Rayuan dan 14 hakim mahkamah tinggi telah dicadangkan dua hingga dua bulan setengah yang lalu.
"Semua pelantikan itu perlu lalui proses. Selepas mendapat perkenan Agong, ia perlu disahkan setelah perundingan dengan Majlis Raja-Raja,” katanya.
Beliau turut menyindir segelintir pihak yang sepatutnya faham mengenai proses perlembagaan namun memilih untuk memutarbelit fakta.
“Saya tidak fikir orang yang ada kefahaman tentang perlembagaan tidak tahu. Tapi mereka pilih untuk riuhkan keadaan,” katanya.
Perdana Menteri turut mempersoalkan bagaimana khabar angin mengenai pelantikan tersebut boleh tersebar.
“Saya percaya mungkin ada juga elemen dalam badan kehakiman yang membocorkan dan menyebarkan cerita tidak tepat ini. Tidak mengapa itu urusan mereka,” katanya.
Tambah beliau, situasi hangat mengenai pelantikan jawatan tertinggi institusi kehakiman telah reda apabila orang ramai boleh menilai sendiri situasi sebenar.
“Alhamdulillah sekarang tidak ada siapa cakap apa-apa. Tapi waktu minggu lepas saya dimaki.
"Macam mana sekarang? Keadaan sudah selesai,” katanya sinis.
Anwar turut menekankan bahawa penjawat awam perlu memahami isu-isu yang menyentuh sistem negara kerana ia membabitkan kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran.
“Saya telah bercakap dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar sebab ini penting untuk diketahui penjawat awam. Kita perlu faham perkara-perkara besar ini, bukan hanya hal pentadbiran semata-mata,” katanya.
Beliau turut menyifatkan apa yang berlaku sebagai pengajaran agar masyarakat tidak mudah menjatuhkan hukuman sebelum mengetahui keseluruhan cerita.
“Jangan hukum dahulu sebelum dengar semua pihak. Ini sama seperti sesetengah ustaz, belum sempat dengar terus hukum.
“Sedangkan (pelantikan) hakim ada kaedahnya. Tak boleh dengar sebelah pihak sahaja,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

