[VIDEO] AUEGCAS harap kajian fasa kedua SSPA selesai tahun ini

A
A
A

SHAH ALAM – Gabungan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan-Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS) berharap kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) fasa kedua yang dijangka berakhir tahun ini dapat diselesaikan dengan memberi keutamaan kepada permohonan semakan penambahbaikan jawatan pembantu tadbir.

Amir Hamzah (empat dari kanan) dan Hazarul Anan (tengah) serta Mohd Khuzaini (empat dari kiri) pada Mesyuarat Tri Tahunan AUEGCAS Negeri Selangor Kali Ke-13 di Wisma NUTP, di sini pada Sabtu.
Amir Hamzah (empat dari kanan) dan Hazarul Anan (tengah) serta Mohd Khuzaini (empat dari kiri) pada Mesyuarat Tri Tahunan AUEGCAS Negeri Selangor Kali Ke-13 di Wisma NUTP, di sini pada Sabtu.

Setiausaha Agung AUEGCAS Kebangsaan, Amir Hamzah Yakat Ali berkata, demikian dalam sidang akhbar sempena Mesyuarat Tri Tahunan AUEGCAS Negeri Selangor Kali Ke-13 di Wisma NUTP di sini, pada Sabtu.

Menurut beliau, perkara itu merupakan isu nasional yang telah lama dibangkitkan kepada pihak kerajaan.

“Dalam program ini, kita amat bersyukur kepada kerajaan yang telah melaksanakan SSPA dengan bayaran kenaikan gaji bermula 8 peratus dan keseluruhan 15 peratus. Insya-ALLAH, kita akan menerima baki 7 peratus pada 1 Januari 2026 nanti.

“Kami amat berharap kajian SSPA fasa kedua yang berakhir pada 2025 ini dapat diselesaikan dengan memberi keutamaan kepada apa yang telah kami pohon kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), khususnya semakan kelayakan masuk bagi jawatan pembantu tadbir,” ujarnya.

Turut hadir, Pengerusi AUEGCAS Selangor, Hazarul Anan dan Setiausaha AUEGCAS Perak, Mohd Khuzaini Farhan Abd Aziz.

Beliau berkata, AUEGCAS percaya JPA mampu melaksanakan semakan tersebut dan berharap pembantu tadbir tidak lagi ketinggalan dalam penambahbaikan pada fasa kedua ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, AUEGCAS turut menyuarakan kekecewaan berhubung pengumuman pelaksanaan waktu kerja 42 jam seminggu kepada kakitangan hospital, khususnya jururawat, sedangkan pembantu tadbir yang turut bertugas di kaunter-kaunter utama hospital masih kekal bekerja 45 jam seminggu.

“Manusia yang sama, cuma skim sahaja berbeza. Sepatutnya layanan itu perlu diberi sama rata kepada pembantu tadbir juga, terutamanya mereka yang bertugas di kaunter dan memainkan peranan besar semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini,” jelasnya.

AUEGCAS turut menggesa Kementerian Kesihatan agar memberi perhatian terhadap kesamarataan tempoh waktu bekerja antara jururawat dan pembantu tadbir yang sama-sama berkhidmat di fasiliti kesihatan awam.

Dalam perkembangan berkaitan, kesatuan itu turut berharap agar Kementerian Kesihatan dapat menyemak semula kadar bayaran rawatan perubatan yang berbeza-beza di hospital separa kerajaan agar tidak membebankan penjawat awam dan orang awam.

“Kita mohon agar perkara ini dilihat semula kerana ia membabitkan kebajikan semua pihak,” katanya.

Tambah beliau, AUEGCAS sekali lagi mengulangi harapan agar kajian semula SSPA fasa kedua dapat diselesaikan dengan sebaiknya menjelang akhir tahun ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!