Warga emas maut digilis ketika lintas jalan

TAMPIN – Seorang pejalan kaki maut dipercayai digilis kenderaan di Jalan Gemas–Tampin berhampiran CK Timber Hardware Industrial, Gemas, di sini pada Sabtu.
Kejadian jam 6.30 pagi itu berlaku ketika mangsa, seorang lelaki berusia 65 tahun sedang melintas jalan.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 7.15 pagi.
“Siasatan awal mendapati mangsa telah dilanggar dan kemudiannya digilis oleh sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti ketika melintas jalan.
“Dipercayai terdapat sebuah lagi kenderaan yang turut melanggar mayat mangsa yang berada di tengah jalan akibat kemalangan pertama,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, ketika kejadian, mangsa memakai pakaian berwarna gelap dan lokasi kejadian juga tidak mempunyai lampu jalan.
Jelasnya, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tampin bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan terbabit diminta menghubungi Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin di talian 06-4412502 atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Srithran, di talian 010-4002611 bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih diteruskan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


