Warga emas maut digilis lori ketika kayuh basikal

Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Foto media sosial. Gambar kecil : Putri Maimon Megat Abdul Wahab
Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Foto media sosial. Gambar kecil : Putri Maimon Megat Abdul Wahab
A
A
A

PARIT - Seorang wanita warga emas maut digilis sebuah lori yang memasuki laluan kecemasan dalam satu kejadian di Kilometer 41 Jalan Ipoh-Lumut dekat Bota Kanan di sini pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa, Putri Maimon Megat Abdul Wahab, 69, dipercayai sedang menunggang basikal dalam perjalanan ke tempat kerjanya di kantin Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Abdul Rahman Yakub.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah lori yang tidak dikenal pasti nombor pendaftarannya memasuki laluan kecemasan dan melanggar mangsa yang sedang berada di bahagian kiri jalan.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut beliau, lori yang dipercayai terlibat dalam insiden tersebut telah melarikan diri dan sehingga kini belum dapat dikesan.

Katanya, setakat ini, tiada tangkapan dilakukan dan polis sedang giat mengesan pemandu serta kenderaan yang terlibat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan lori tersebut diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berdekatan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!