Segera bantu rakyat terjejas akibat Covid 19

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan perlu bertindak segera membantu mereka yang terlibat dalam industri pelancongan di Langkawi akibat koronavirus (Covid-19).

Timbalan Ketua UMNO Langkawi, Nor Saidi Nayan berkata, Langkawi yang popular sebagai lokasi pelancongan dunia kini semakin lengang.

"Keadaan ini dikhuatiri mempengaruhi pendapatan penduduk yang bergantung kepada sektor ini termasuk pekerja, pengusaha atau mereka yang menawarkan perkhidmatan kepada pelancong," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kekurangan pelancong turut mengakibatkan kesukaran hidup kepada masyarakat kerana berdepan potongan gaji, tawaran cuti atau berhenti.

"Mereka faham bahawa Covid-19 melanda seluruh dunia termasuk Malaysia. Bagaimanapun perut perlu diisi, bil perlu dibayar, hutang perlu dijelaskan dan semua ini menimbulkan kegusaran kepada mereka.

"Apa yang perlu dilakukan penduduk terkesan untuk meneruskan kehidupan sedangkan sebahagian mereka hilang pendapatan, tiada pendapatan serta kurangnya pendapatan," katanya.

Menurutnya, beliau tidak menuding jari kepada sesiapa sebaliknya sekadar seruan untuk pihak berwajib segera menyediakan 'pelampung' menyelamatkan rakyat.

"Cukuplah berpolitik memandangkan kini masa dan ketikanya bekerja untuk rakyat apatah lagi dalam keadaan yang amat memerlukan bantuan dan perhatian," katanya.

Artikel Berkaitan: