Uggah gesa rakyat Sarawak beri kerjasama dalam usaha tangani Covid-19

Amar Douglas Uggah Embas
Amar Douglas Uggah Embas
A
A
A

SIBU - Meskipun jumlah kes positif Covid-19 di Sarawak masih kecil apabila hanya mencatat angka 20 setakat ini, penduduk di negeri itu perlu memberikan kerjasama dalam usaha mencegah penularan lanjut penyakit tersebut dengan mematuhi garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, jika jangkitan itu terus menular, dikhuatiri bahawa hospital tidak akan mempunyai katil yang mencukupi bagi menampung bilangan pesakit.

"Ini amat membimbangkan kami sebab itu kami keluarkan garis panduan. Saya merayu kepada orang ramai agar mematuhi garis panduan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak Kem Belia Kemuyang yang terletak kira-kira 21 kilometer dari sini.

“Kami belajar daripada apa yang berlaku di seluruh dunia. Dasar isolasi dan meminimumkan kontak nampaknya berjaya menghentikan penularan penyakit itu,” katanya.

Beliau berkata, terdapat empat hospital yang ditetapkan bagi merawat pesakit Covid-19 iaitu Hospital Besar Sarawak serta hospital-hospital di Sibu, Bintulu dan Miri, manakala hospital lain di negeri itu tidak boleh merawat pesakit yang dijangkiti virus tersebut kerana kekurangan kakitangan dan peralatan.

Katanya, jika hospital yang ditetapkan tidak mampu menampung jumlah pesakit Covid-19, pesakit yang mempunyai masalah perubatan lain perlu dipindahkan ke hospital lain atau hospital swasta.

“Kami telah mengadakan perbincangan dengan hospital swasta semalam untuk melihat bagaimana mereka boleh membantu jika kami perlu memindahkan pesakit yang tidak dijangkiti Covid-19,” katanya sambil menambah bahawa semua hospital swasta di Sarawak telah dimaklumkan agar memastikan kesiapsiagaan kakitangan dan peralatan mereka pada setiap masa bagi mengelak sebarang keadaan tidak bersedia.

Mengulas tapak Kem Belia Kemuyang, Uggah berkata, ia didapati sesuai untuk dijadikan pusat kuarantin Covid-19 selepas tiga lagi lokasi di Bintulu, Miri dan Kuching dikenal pasti bagi tujuan sama.

Artikel Berkaitan:

“Selepas memeriksa tempat itu, kami memutuskan bahawa ia boleh digunakan bagi tujuan tersebut.

"Terdapat 10 bilik individu yang dianggap mencukupi buat masa ini. Pada masa yang sama, saya akan meminta pasukan (pengurusan bencana) Sibu untuk meninjau tempat lain jika kita memerlukan lebih banyak ruang,” katanya.

Turut mengiringi beliau semasa lawatan itu ialah Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian. - Bernama