Pengurus bangunan tak mengaku pulas kaki emak, larikan budak 11 tahun

SEREMBAN – Seorang pengurus bangunan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban pada Jumaat atas dua pertuduhan iaitu mencederakan ibunya dan melarikan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, minggu lalu.
Tertuduh, A Ramrash, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan selepas ia dibacakan di hadapan Majistret Saiful Sayoti.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap ibunya dengan memulas kaki kiri wanita itu sehingga bengkak.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan pada 13 Mei 2025, kira-kira jam 6.30 petang, di sebuah rumah di Taman Seremban Jaya di sini.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.
Seksyen 323 memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan, manakala Seksyen 326A pula memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum bagi kesalahan asal.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melarikan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun tiga bulan yang berada di bawah penjagaan sah bapanya, pada hari dan lokasi yang sama, kira-kira jam 5.30 petang berhampiran tepi longkang besar di Taman Seremban Jaya.
Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Fidha Misjedi mencadangkan jaminan RM6,000 bagi pertuduhan pertama, dengan syarat tambahan tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan.
Bagi pertuduhan kedua, pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan.
Sementara itu, peguam Chrysandy Lai dari Yayasan Bantuan Guaman Malaysia memohon jaminan munasabah dan memaklumkan bahawa pengadu telah menarik balik laporan polis.
Beliau turut menyatakan bahawa kejadian itu berlaku kerana masalah keluarga dan salah faham.
Bagi pertuduhan kedua, peguam menyatakan kejadian berlaku ketika tertuduh berada dalam keadaan mabuk.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM5,000 bagi pertuduhan pertama dan RM6,500 bagi pertuduhan kedua. Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Ogos 2025.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

