Bekas eksekutif tak mengaku pecah amanah hampir RM30,000

KUALA PILAH - Seorang bekas eksekutif sebuah syarikat jual beli kenderaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas enam pertuduhan pecah amanah membabitkan kerugian hampir RM30,000.
Tertuduh, L Sharanya, 30, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Yusna Khadijah Md Yusop.
Mengikut pertuduhan, Sharanya yang ketika itu bekerja sebagai eksekutif di syarikat beralamat di Tampin didakwa telah melakukan pecah amanah dengan membuat transaksi pindahan wang syarikat secara tidak sah ke akaun bank miliknya dua tahun lalu antara 1 Januari hingga 30 Jun 2023.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi 14 tahun serta sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Goh Hsiao Tung memohon jaminan RM5,000 dikenakan bagi setiap pertuduhan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dan menetapkan 25 Ogos depan untuk tarikh sebutan semula kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

