'Saya lihat murid itu duduk diam dan berpeluh-peluh'

Tangkap layar video tular berkenaan yang memaparkan seorang guru membantu murid untuk menggunakan inheler.
Tangkap layar video tular berkenaan yang memaparkan seorang guru membantu murid untuk menggunakan inheler.
A
A
A

 

SHAH ALAM - Tindakan pantas seorang guru membantu murid yang diserang asma ketika dalam kelas bukan sahaja menyelamatkan nyawa kanak-kanak itu, malah menyentuh hati ramai setelah rakaman kejadian itu tular di media sosial.

Guru Pendidikan Moral, Muhammad Farid Ammar Suhaimi, 29, berkata, kejadian itu berlaku pada pagi Isnin lalu ketika beliau berada di kelas Tahun Satu untuk sesi pembelajaran seperti biasa.

“Saya lihat murid berkenaan duduk diam dan berpeluh-peluh, sedangkan sebelum ini dia seorang yang sangat ceria dan banyak bercakap.

"Bila saya tanya, dia terus keluarkan beg kecil berisi ubat dan ubat sedutan asma ('inhaler').

“Tanpa berlengah, saya panggil dia ke hadapan dan bantu dia gunakan inhaler.

"Inhaler itu memang disediakan oleh ibu bapanya. Saya rakam video itu untuk tunjuk pada isteri, tak sangka pula ia tular di TikTok,” katanya kepada Sinar Harian.

Muhammad Farid Ammar bersama murid berkenaan yang videonya tular.
Muhammad Farid Ammar bersama murid berkenaan yang videonya tular.

Artikel Berkaitan:

Menurut Muhammad Farid, dia bersyukur keadaan asma murid berkenaan tidak teruk kerana masih mampu bergerak dan sempat menari-nari kecil ketika dalam kelas, sekali gus memberi ruang untuk rawatan awal diberikan.

“Saya bantu dia guna inhaler, tekan sekali dan minta dia tarik nafas perlahan-lahan.

"Kemudian saya pastikan dia stabil, banyakkan rehat dan tidak aktif sangat," katanya.

Muhammad Farid yang mengajar di sebuah sekolah di Kapit, Sarawak mengakui tidak mempunyai pengetahuan perubatan khusus, namun berbekalkan pengalaman sendiri pernah menghidap asma sewaktu kecil, beliau yakin untuk bertindak.

“Ya, saya sendiri pernah kena asma masa kecil. Seingat saya sejak darjah lima atau enam penyakit itu hilang, itulah yang bantu saya tahu apa nak buat masa kejadian itu berlaku,” katanya yang tetap mengambil perhatian soal kesihatan.

Tambahnya, kejadian tersebut wajar dijadikan iktibar oleh semua pihak termasuk ibu bapa, guru dan pelajar agar lebih bersedia menghadapi situasi kesihatan tidak dijangka seperti itu.

“Ibu bapa kena maklumkan sejarah kesihatan anak kepada pihak sekolah dan pastikan mereka bawa ubat yang perlu.

"Guru pula perlu peka dan tenang. Pelajar juga sebaiknya diajar cara guna inhaler sendiri,” jelasnya.

Muhammad Farid turut menegaskan bahawa beliau tidak pernah berniat untuk menjadikan video itu sebagai kandungan tular, sebaliknya sekadar menyimpan momen tersebut untuk kenangan peribadi.

“Saya bukan pempengaruh. Saya hanya post untuk kenangan. Tapi kalau video itu boleh buka mata masyarakat tentang pentingnya prihatin terhadap kesihatan murid, saya sangat bersyukur,” ujarnya.

Anak jati Rembau, Negeri Sembilan itu sudah berkhidmat selama tiga tahun sebagai guru di Sarawak dan berharap lebih ramai pendidik serta ibu bapa dapat mempersiapkan diri menghadapi kecemasan dengan ilmu dan empati.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!