Motivasi songsang, pesta gay: Apa jadi dengan Malaysia?

DUA insiden tular minggu ini mencetuskan keresahan mendalam dalam kalangan masyarakat pertamanya, serbuan 'pesta' gay di sebuah banglo di Kelantan serta program motivasi rumah tangga yang dikaitkan dengan aksi tidak senonoh dalam sesi 'pemulihan emosi'.
Serbuan di Kemumin, Kota Bharu itu membabitkan lebih 100 lelaki berhimpun di sebuah rumah persendirian dipercayai menghadiri perjumpaan tertutup berunsur seks songsang.
Turut dirampas ialah ratusan kondom, pelincir, ubat rawatan HIV dan bahan lucah, malah hasil soal siasat mendapati ramai peserta mengaku ahli komuniti gay dan menganjurkan program secara percuma.
Lebih membimbangkan, beberapa individu disahkan positif HIV.
Perkara ini sekali lagi mencetuskan kebimbangan terhadap ancaman kesihatan awam dan keselamatan moral masyarakat yang semakin rapuh.
Dalam masa sama, program motivasi rumah tangga dikendalikan sepasang suami isteri turut mengundang kontroversi apabila wujud dakwaan ada aksi menanggalkan pakaian.
Selain itu, peserta difahamkan turut diberikan minuman khas dikenali sebagai 'air Piya' yang mencetuskan rasa curiga dan kecaman awam.
Polis juga mengesahkan siasatan sedang dijalankan terhadap program itu di bawah beberapa seksyen perundangan berkaitan, termasuk kemungkinan berlaku penyelewengan kandungan motivasi.
Kedua-dua kes itu memperlihatkan kecenderungan segelintir pihak mencari ‘komuniti tertutup’ bagi meluahkan ekspresi diri atau merawat emosi, namun tanpa sempadan moral yang jelas, aktiviti tersebut mudah terpesong daripada nilai agama dan budaya.
Persoalannya, bagaimana aktiviti sebegini boleh berlaku tanpa dikesan lebih awal? Adakah masyarakat terlalu alpa hingga gagal mengekang norma yang sepatutnya dijaga?
Dalam kes pesta gay, jelas wujud rangkaian tersusun yang bergerak dalam senyap dan berpotensi besar menjejaskan kesihatan awam jika tidak ditangani secara menyeluruh.
Sementara itu, kes motivasi songsang pula memperlihatkan bagaimana nama ‘motivasi’ boleh dimanipulasi menjadi medium eksploitatif yang berselindung di sebalik imej pembangunan diri.
Lebih merisaukan apabila dikatakan elemen spiritual dan keagamaan turut diselitkan bagi mencipta simpati, menarik pengaruh serta mengaburi mata pihak berkuasa.
Sudah tiba masanya kerajaan dan pihak berkepentingan menggubal garis panduan ketat untuk program motivasi termasuk pensijilan modul, pendaftaran pembimbing dan pemantauan kandungan bagi mengelakkan penyalahgunaan yang kian menjadi-jadi.
Bagi isu kesihatan awam pula, pendekatan bersifat menghukum semata-mata tidak memadai kerana ia perlukan usaha pendidikan jangka panjang berkaitan risiko penyakit seksual, kesedaran HIV serta pemupukan nilai moral melalui institusi pendidikan, keluarga dan agama.
Kedua-dua kejadian tersebut bukan sekadar berita sensasi kerana ia adalah petanda keretakan sosial yang sedang berlaku secara senyap.
Jika tidak ditangani secara holistik dan bersepadu, ia bakal mencetuskan letupan nilai yang menghakis akar budaya bangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
