Ganja RM180,000 ditinggalkan di sempadan Padang Besar

PADANG BESAR – Cubaan menyeludup dadah bernilai ratusan ribu ringgit dari negara jiran berjaya dipatahkan pasukan keselamatan dalam satu operasi di kawasan sempadan negara di sini pada Rabu.
Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, Kompeni C Batalion 18 PGA Pengkalan Hulu yang menjalankan Op Taring Wawasan Kedah/Perlis mengesan pergerakan mencurigakan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi strategik sempadan negara.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di sekitar kawasan Pos BKC 7 membawa kepada penemuan satu guni putih yang disyaki mengandungi dedaun kering dipercayai ganja.
“Guni tersebut dipercayai cuba diseludup masuk dari Thailand melalui tembok keselamatan di Padang Besar.
“Tiada suspek ditahan dalam operasi berkenaan, namun bahan yang dirampas dianggarkan seberat enam kilogram dengan nilai mencecah RM180,000,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Jelas Shahrum, rampasan tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
“Cawangan Risik Batalion 18 PGA masih giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sindiket yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan tersebut,” ujarnya.
Tambah beliau, Briged Utara PGA komited untuk terus mempergiatkan usaha membanteras penyeludupan di sempadan negara, khususnya di negeri Perlis dan Kedah.
“Briged Utara PGA tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang, khususnya melibatkan penyeludupan di sepanjang sempadan utara negara.
“Masyarakat dan pengguna diseru supaya menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

