Bangkai helikopter PDRM terhempas akan dibawa ke PGU Subang

Bangkai helikopter PDRM yang terhempas di Sungai Pulai berjaya dinaikkan dan akan dibawa ke PGU Subang untuk siasatan oleh BSKU. Foto Bernama
Bangkai helikopter PDRM yang terhempas di Sungai Pulai berjaya dinaikkan dan akan dibawa ke PGU Subang untuk siasatan oleh BSKU. Foto Bernama
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Bangkai helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terhempas di Sungai Pulai, Gelang Patah di sini minggu lepas, berjaya dinaikkan sekitar 11 pagi Khamis dan akan dibawa ke Pasukan Gerakan Udara (PGU) Subang, Selangor bagi tujuan siasatan lanjut.

Komander PGU Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Noor Sham Md Jani berkata, siasatan terperinci akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU).

"Kerjasama pelbagai agensi mempercepatkan proses menaikkan bangkai helikopter ini dan membolehkan siasatan lebih menyeluruh dijalankan,” katanya ketika dihubungi Bernama. 

Bangkai helikopter PDRM yang terlibat kemalangan Khamis lepas berjaya dinaikkan dengan kerjasama pelbagai agensi di Sungai Pulai, berhampiran Jeti Maritim Malaysia Negeri Johor pada Khamis. Foto Bernama
Bangkai helikopter PDRM yang terlibat kemalangan Khamis lepas berjaya dinaikkan dengan kerjasama pelbagai agensi di Sungai Pulai, berhampiran Jeti Maritim Malaysia Negeri Johor pada Khamis. Foto Bernama

Operasi menaikkan helikopter jenis AS355N dengan nombor pendaftaran 9M-PHG itu dilaksanakan secara berperingkat dengan kerjasama pelbagai agensi sejak awal pagi tadi.

Bangkai helikopter tersebut dinaikkan dengan menggunakan sebuah kapal kren dan diiringi beberapa aset PDRM.

Tinjauan Bernama di lokasi sejak 7.30 pagi mendapati persiapan operasi dijalankan secara teliti sebelum bangkai helikopter dinaikkan secara berperingkat dan kemudian dibawa ke jeti berhampiran.

Dalam insiden pada Khamis lepas, helikopter berkenaan terhempas ketika terlibat latihan Multilateral Nuclear Security Detection Exercise (MITSATOM) 2025 yang membabitkan kerjasama antara Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura di Jeti Maritim Gelang Patah.

Artikel Berkaitan:

Setakat 13 Julai lepas, kelima-lima mangsa nahas dilaporkan stabil termasuk dua anggota yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!