Gangguan integrasi data punca sistem 'autogate' pintu masuk utama negara terjejas

Gangguan integrasi data punca sistem 'autogate' pintu masuk utama negara terjejas - AKPS - Gambar hiasan.
Gangguan integrasi data punca sistem 'autogate' pintu masuk utama negara terjejas - AKPS - Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM – Masalah teknikal pada sistem autogate di beberapa pintu masuk utama negara pada Jumaat lalu dipercayai berpunca daripada gangguan integrasi data yang menyebabkan proses semakan silang sistem MyIMMS menjadi perlahan.

Demikian dapatan siasatan awal oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

Menurut agensi itu, gangguan tersebut menyebabkan sistem autogate yang digunakan oleh pelawat asing tidak dapat berfungsi dengan baik.

Ia turut mengakibatkan kesesakan dan barisan menunggu yang panjang termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2, Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) serta Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor.

“Bagaimanapun, AKPS menegaskan bahawa sistem autogate bagi pemegang pasport Malaysia tidak terjejas dan masih berfungsi seperti biasa.

“AKPS dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sedang bekerjasama rapat untuk mengenal pasti punca sebenar masalah serta mencari jalan penyelesaian secepat mungkin.

“Semua kaunter manual telah diaktifkan sepenuhnya dan anggota tambahan dikerahkan untuk menguruskan aliran keluar masuk pelawat serta mengawal barisan menunggu dengan kapasiti terbaik,” menurut kenyataan AKPS pada Sabtu.

Terdahulu, terdapat laporan berhubung kesesakan dan barisan menunggu yang panjang di beberapa pintu masuk udara negara akibat masalah teknikal tersebut.

AKPS turut memaklumkan bahawa beberapa langkah segera telah diambil bagi menangani isu berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Kami sedang berusaha sedaya upaya untuk memulihkan sistem dan melancarkan semula pergerakan di semua pintu masuk negara,” ujar agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!