Bina sistem sokongan, selamatkan mangsa keganasan rumah tangga

Masalah keganasan rumah tangga tidak akan selesai selagi masyarakat terus menutup mata terhadap penderitaan suri rumah yang menjadi mangsa. Gambar hiasan
Masalah keganasan rumah tangga tidak akan selesai selagi masyarakat terus menutup mata terhadap penderitaan suri rumah yang menjadi mangsa. Gambar hiasan
A
A
A

KEGANASAN rumah tangga bukan hanya melibatkan penderaan fizikal semata-mata, tetapi juga merangkumi penindasan emosi, seksual, ekonomi dan psikologi.

Ia bukan lagi isu terpencil, malah semakin membimbangkan apabila kerap berlaku dalam kalangan masyarakat, terutama melibatkan golongan wanita.

Berdasarkan laporan, sebanyak 2,467 kes keganasan rumah tangga direkodkan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, hasil kajian menunjukkan suri rumah merupakan golongan paling tinggi menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

"Tetapi mungkin ada sesetengah, mereka tidak sedar pun sedang menjadi mangsa...sebab penderaan ini bukan fizikal sahaja, ia ada penderaan emosi. Kadang-kadang pelaku itu dia boleh buat psikologi terbalik pula.

"Kajian juga mendapati kebanyakan penderaan dilakukan oleh orang paling dekat dengan mangsa atau dalam kalangan ahli keluarga,” katanya

Antara faktor utama mengapa suri rumah lebih mudah menjadi mangsa ialah ketergantungan kewangan sepenuhnya kepada suami.

Tanpa sumber pendapatan sendiri, ramai wanita berasa tiada daya untuk keluar dari hubungan yang toksik kerana bimbang tidak mampu menyara diri dan anak-anak.

Norma sosial yang menekankan kepatuhan isteri dan keutamaan menjaga rumah tangga juga menyebabkan ramai wanita memilih untuk berdiam diri demi mempertahankan maruah keluarga, walaupun menderita secara mental dan fizikal.

Artikel Berkaitan:

Lebih membimbangkan, terdapat stigma terhadap wanita yang melaporkan penderaan, mereka sering dilabel sebagai 'isteri derhaka', 'tidak sabar' atau 'memalukan keluarga'.

Keadaan ini mewujudkan tekanan berganda kepada mangsa yang akhirnya memilih untuk bertahan dalam keadaan memudaratkan diri sendiri.

Sistem sokongan yang sedia ada pula masih belum cukup kuat untuk membantu suri rumah keluar dari kitaran keganasan.

Oleh itu, masalah keganasan rumah tangga tidak akan selesai selagi masyarakat terus menutup mata terhadap penderitaan suri rumah yang menjadi mangsa.

Sudah tiba masanya kita berhenti menyalahkan mangsa dan mula membina sistem yang menyokong mereka sepenuhnya.

Suri rumah bukan hanya tulang belakang keluarga tetapi juga tonggak penting dalam pembangunan masyarakat.

Kesejahteraan dan keselamatan mereka perlu dijamin agar institusi keluarga terus menjadi tempat perlindungan yang aman, bukan sumber trauma.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!