MAA seru kerajaan teruskan insentif untuk EV

MAA berharap kerajaan teruskan pemberian subsidi untuk kenderaan elektrik bagi melonjakkan permintaannya dalam pasaran.
MAA berharap kerajaan teruskan pemberian subsidi untuk kenderaan elektrik bagi melonjakkan permintaannya dalam pasaran.
A
A
A

PERSATUAN Automotif Malaysia (MAA) menyeru kerajaan meneruskan pemberian subsidi untuk kenderaan elektrik (EV) bagi merancakkan permintaan yang dilihat masih rendah dalam pasaran.

Menurut Presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain, dengan meneruskan pemberian insentif sekali gus dapat memacu matlamat kerajaan agar EV merangkumi 15 peratus daripada jumlah kenderaan baharu menjelang tahun 2030.

“Bagi pihak industri automotif pastinya kami mahu kerajaan meneruskan pemberian subsidi untuk EV berikutan masih belum cukup momentum untuk melonjak permintaan terhadap kenderaan jenis itu.

“Malah pasaran juga memerlukan kesinambungan bagi memastikan impak jangka panjang yang lebih menyeluruh.

“Selain itu, ia akan membolehkan pengeluar merancang strategi pengeluaran masing-masing dengan lebih berkesan dan harapannya lebih banyak model baharu akan muncul dalam pasaran,” katanya pada sidang media anjuran MAA pada Rabu.

Beliau menambah, merujuk kepada Total Industry Volume (TIV) yang mewakili jumlah keseluruhan kenderaan baharu dijual di Malaysia, pada ketika ini jumlah asas hanya sekitar empat peratus bagi EV dan kira-kira 4.6 peratus bagi kenderaan hibrid.

Setakat ini, EV yang diimport sepenuhnya dari luar negara dikecualikan daripada duti import dan duti eksais sehingga 31 Disember 2025.

Sementara itu, bagi model yang dipasang secara tempatan menikmati pengecualian cukai sehingga akhir tahun 2027.

Dalam sidang media sama, MAA turut mendedahkan sektor automotif merekodkan penurunan 4.6 peratus dalam jualan kenderaan baharu bagi separuh pertama tahun 2025.

Artikel Berkaitan:

TIV jatuh kepada 373,636 unit daripada 391,451 unit dalam tempoh sama pada tahun 2024, mencatatkan penurunan sebanyak 17,815 unit.

Antara faktor menyumbang penurunan TIV termasuk kesan asas tinggi daripada rekod TIV tahun 2024 yang berjumlah 816,747 unit menjadikan perbandingan dengan tahun 2025 secara semula jadi lebih rendah.

Diikuti, pembelian awal pada Disember 2024 menjejaskan jualan pada Januari 2025. TIV bulanan tertinggi sebanyak 81,735 unit dicatatkan pada Disember 2024 berbanding hanya 50,397 unit pada Januari 2025 (TIV Januari 2024: 66,919 unit).

Kesan penarikan semula subsidi diesel pada Jun 2024 turut menyebabkan permintaan terhadap kenderaan komersial merosot sebanyak 21 peratus dalam separuh pertama tahun 2025 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

MAA bagaimanapun mengekalkan unjuran TIV bagi keseluruhan tahun 2025 sebanyak 780,000 unit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!