Kenaikan tarif air bebankan rakyat Negeri Sembilan - Pemuda Amanah

Laporan Sinar Harian mengenai kenyataan Aminuddin melibatkan isu kenaikan tarif air di Negeri Sembilan. Gambar kecil: Zainal Lutfi
Laporan Sinar Harian mengenai kenyataan Aminuddin melibatkan isu kenaikan tarif air di Negeri Sembilan. Gambar kecil: Zainal Lutfi
A
A
A

SEREMBAN - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan melahirkan kebimbangan berhubung cadangan kenaikan tarif air di negeri ini.

Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Negeri Sembilan, Zainal Lufti Zainal Fitry berkata, mereka berpendapat langkah tersebut tidak sesuai dilaksanakan pada masa sekarang.

“Kami berpendapat langkah ini tidak sesuai dilaksanakan pada masa ini memandangkan rakyat sedang berhadapan dengan pelbagai tekanan ekonomi,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, jika tarif air turut dinaikkan, ia akan menambah beban kewangan terutama kepada isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40).

Tambahnya, pihaknya mencadangkan kerajaan negeri supaya mengambil langkah alternatif iaitu menggunakan dahulu dana rizab Negeri Sembilan.

“Negeri Sembilan mempunyai dana rizab yang kukuh iaitu RM1.02 bilion pada 2023.

“Dana ini sepatutnya digunakan untuk menampung kos pembangunan dan penyelenggaraan perkhidmatan air sementara menunggu keadaan ekonomi pulih sepenuhnya,” katanya.

Selain itu, ujarnya, kerajaan negeri juga dicadang memperkukuh dahulu pelaburan infrastruktur dan menggunakan dana negeri sebelum membebankan rakyat.

Zainal Lufti turut mencadangkan agar kerajaan negeri mengadakan perbincangan terbuka dengan semua pihak berkepentingan, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil rakyat sebelum sebarang keputusan dibuat.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dilaporkan berkata, cadangan semakan tarif air yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bertujuan menangani cabaran bekalan air serta memastikan perkhidmatan yang lebih cekap dan efisien untuk kesejahteraan rakyat.

Jelas beliau, langkah itu penting bagi memastikan penyelenggaraan dan pembaikan rangkaian paip air lama dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan.

SPAN pula mengesahkan penerimaan permohonan semakan kadar tarif bekalan air daripada operator di 10 negeri yang berada di bawah kawal selia agensi itu.

Selain Negeri Sembilan, ia turut melibatkan Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Melaka, Johor dan Pahang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!