Budak 3 tahun maut dilanggar kereta dipandu bapa

Gambar kecil: Mohamad Nordin Abdullah
Gambar kecil: Mohamad Nordin Abdullah
A
A
A

IPOH - Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun maut dilanggar kenderaan dipandu bapanya di sebuah rumah di Jalan Gopeng di sini semalam.

Kejadian kira-kira jam 4.35 petang itu berlaku ketika bapa mangsa berusia 51 tahun sedang mengundurkan keretanya untuk keluar rumah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah berkata, mangsa dikenali Britthany Yong Weng Yee disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital akibat cedera parah.

Menurutnya, maklumat kejadian itu diterima daripada pegawai perubatan sebuah hospital pada jam 6.35 petang berhubung seorang kanak-kanak meninggal dunia disyaki dilanggar kenderaan.

"Siasatan awal telah dijalankan dan didapati ketika kejadian bapa mangsa mengundurkan keretanya kerana hendak menghantar anak sulung ke kelas tambahan lukisan.

"Kejadian ini kita klasifikasikan sebagai satu kecuaian hingga menyebabkan kematian," katanya.

Menurutnya, polis telah mengambil keterangan daripada bapa mangsa untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan.

"Siasatan lanjut juga telah dilakukan di lokasi kejadian," katanya.

Artikel Berkaitan: