Toyota Alphard terbabas, terjunam ke dalam sungai

ALOR SETAR – Seorang lelaki berusia 41 tahun berdepan detik cemas apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandunya terbabas lalu terjunam ke dalam sungai di Jalan Ban Sungai, Kampung Telaga Bata di sini pada malam Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa, Cheah Chean Han dipercayai sedang memandu Toyota Alphard sebelum hilang kawalan lalu meluncur ke dalam sungai berdekatan.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 8.01 malam.
Seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar dikejarkan ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera FRT dan EMRS.
“Pasukan tiba di lokasi pada jam 8.21 malam dan mendapati sebuah MPV tenggelam sebahagiannya di dalam sungai.
“Anggota segera bertindak mengeluarkan mangsa ke kawasan selamat sebelum diberi rawatan awal,” menurut kenyataan JBPM Kedah.
Mangsa mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut.
Operasi penyelamatan berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 8.31 malam dan ditamatkan sekitar jam 8.52 malam.
Pihak polis turut memberikan bantuan sepanjang operasi dijalankan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

