Lelaki cedera tersepit kereta terbabas terjunam dalam parit

SEPANG – Seorang lelaki cedera selepas kereta yang dipandunya terbabas dan terjatuh ke dalam parit di Jalan KLIA S8 di sini pada Ahad.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 4.38 pagi.
"Seramai lapan anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 12 kilometer dari balai," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian dan mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Alza yang terbabas serta terjatuh ke dalam parit sedalam empat meter.
"Seorang lelaki berusia 32 tahun tersepit di bahagian kaki pada tempat duduk pemandu.
"Mangsa yang mengalami kecederaan ringan berjaya dikeluarkan dan telah dihantar ke hospital menggunakan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS)," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
