AJK tangkap si pencuri tabung masjid!

No Image Caption
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang lelaki dicekup ketika cuba mencuri wang dalam tabung masjid di Jalan Kampung Teluk Sungai Dua, di sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki berusia 22 tahun itu ditangkap ahli jawatankuasa (AJK) masjid tersebut pada jam 6.45 petang sebelum diserahkan kepada polis pada jam 9.35 malam.

Menurutnya, daripada keterangan salah seorang AJK masjid itu, pihak terlibat telah merancang untuk menangkap suspek selepas beberapa kali menemui kesan gam pada tabung masjid tersebut.

"Selain penemuan kesan gam, pihak AJK masjid juga sebelum ini meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan menghampiri tabung yang diletakkan di hadapan pintu masjid.

"Suspek didapati mengambil wang di dalam tabung dengan menggunakan dawai yang diletakkan gam di bahagian hujungnya," katanya ketika dihubungi tadi.

Noorzainy berkata, berdasarkan siasatan melalui CCTV masjid, suspek dilihat memasuki kawasan itu melalui pintu hadapan, selain memadamkan lampu serta melabuhkan tirai bagi mengelak perbuatannya disedari orang lain.

"Siasatan mendapati tabung masjid itu ialah sejenis bekas plastik yang mengandungi wang derma jemaah yang mengunjungi masjid tersebut.

"Polis merampas sebatang besi dawai, satu unit pita pelekat dan wang tunai daripada suspek," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, ujian saringan air kencing suspek bagaimanapun negatif selain tiada rekod jenayah lampau.

Katanya, suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 380/511 Kanun Keseksaan.