141 pelawat asing guna taktik transit cuba bolos di KLIA

SEPANG – Cubaan licik 141 pelawat asing menyalahgunakan kemudahan transit bagi memasuki negara secara haram digagalkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam satu operasi khas di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.
Operasi selama tiga hari yang bermula pada 12 Julai itu menyaksikan pihak AKPS mengeluarkan Notis Penolakan Masuk (NPM) terhadap 94 warga India, 41 warga Indonesia, tiga warga Sri Lanka dan tiga warga Pakistan selepas mereka dikesan cuba memperdaya pihak berkuasa.
Unit Komunikasi Korporat AKPS dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa siasatan mendapati kesemua individu terbabit menggunakan taktik menempah tiket penerbangan sambungan ke negara ketiga.
Mereka dipercayai menyamar sebagai penumpang transit tulen sedangkan sebenarnya tidak berniat untuk meneruskan perjalanan.

“Sebahagian daripada mereka turut cuba keluar dari balai pelepasan transit dengan memberikan pelbagai alasan, seperti kononnya mengalami masalah kesihatan, kehilangan tiket atau isu bagasi.
“Ada juga yang memohon Pas Khas (Special Pass), namun menyalahgunakannya untuk tinggal lebih lama dalam negara,” menurut kenyataan itu pada Selasa.
Tambah kenyataan itu lagi, kejayaan operasi berkenaan adalah hasil pemeriksaan rapi pegawai penguat kuasa yang meneliti dokumen perjalanan dengan teliti.
“Ini termasuk menyemak sejarah lawatan lampau serta menjalankan temu bual terperinci terhadap pelawat yang mencurigakan.
“Kesemua yang dikenal pasti kini sedang dalam proses dihantar pulang menggunakan penerbangan terawal yang tersedia,” katanya.
Susulan insiden itu, AKPS memperketat kawalan di semua zon transit antarabangsa serta mengoptimumkan penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) bagi membanteras sebarang cubaan bolos pada masa hadapan.
“Malaysia sentiasa mengalu-alukan kehadiran pelawat antarabangsa yang sah, namun tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan mengeksploitasi sistem kawalan sempadan negara,” jelas kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

