Kerja ukur dan pemetaan sempadan Putrajaya - Selangor selesai

Dr Zaliha mempengerusikan Mesyuarat Ketua-Ketua Agensi Jabatan Wilayah Persekutuan di sini pada Jumaat.
Dr Zaliha mempengerusikan Mesyuarat Ketua-Ketua Agensi Jabatan Wilayah Persekutuan di sini pada Jumaat.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerja-kerja pengukuran dan pemetaan sempadan Putrajaya - Selangor yang melibatkan 24 pelan telah selesai dilaksanakan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, perkara itu dimaklumkan dalam Mesyuarat Ketua-Ketua Agensi Jabatan Wilayah Persekutuan yang antara lain membincangkan kemajuan proses persempadanan antara Putrajaya dan Selangor.

Menurutnya, sejak 2021, Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan telah mengenal pasti enam kawasan Out Boundary Problem (OBP).

"Semakan lanjut mendapati terdapat tambahan tiga lagi kawasan OBP baharu hasil daripada kerja ukur JUPEM sehingga Februari 2024," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ujar beliau, langkah seterusnya adalah mendapatkan persetujuan mesyuarat Jemaah Menteri bagi pihak Putrajaya dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor bagi memuktamadkan persempadanan.

"Insya-ALLAH, perjanjian bersama akan dimeterai pada tahun ini bagi mengesahkan garis sempadan rasmi kedua-dua wilayah," katanya.

Menurut Dr Zaliha, pemuktamadan sempadan berkenaan penting untuk memastikan penguatkuasaan sempadan yang lebih bersepadu, memaksimumkan guna tanah secara optimum untuk pembangunan terancang, memperkemas kutipan hasil tanah serta mengelakkan isu pencerobohan dan pertindihan kawasan.

"Doakan agar usaha ini diselesaikan dengan tuntas pada tahun ini demi kelestarian pembangunan Wilayah Persekutuan Putrajaya," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!