MPS tutup kandang ayam beroperasi secara haram

Operasi pada 14 Mac lalu melibatkan lebih 30 anggota daripada MPS, JAS, dan JAIS.
Operasi pada 14 Mac lalu melibatkan lebih 30 anggota daripada MPS, JAS, dan JAIS.
A
A
A

RAWANG – Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengambil tindakan terhadap sebuah perniagaan ternakan ayam yang beroperasi tanpa lesen di Kampung Sungai Bakau, Jalan Batu Arang di sini pada 14 Mac lalu.

MPS dalam satu kenyataan di Facebook memaklumkan, dalam operasi bersepadu itu, premis terbabit disita dan diarahkan tutup serta-merta kerana berdekatan kawasan kediaman dan menimbulkan gangguan bau busuk.

Menurut MPS, sebuah kilang penyembelihan ayam di lokasi yang sama turut diperiksa.

"Walaupun beroperasi dengan lesen sementara, kilang tersebut didapati melanggar syarat pelesenan dengan melepaskan efluen terus ke dalam longkang dan tidak memastikan pekerja mendapatkan suntikan typhoid.

"Akibatnya, MPS mengeluarkan dua kompaun, satu notis penutupan dan menggantung lesen kilang sehingga syarat dipatuhi," menurut kenyataan itu.

Jelas MPS, Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut menyita kelengkapan berkaitan efluen, manakala Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengeluarkan notis pematuhan kerana kaedah penyembelihan tidak memenuhi syarat kebajikan haiwan dan sijil pentauliahan tidak diperbaharui.

Premis yang beroperasi tanpa lesen terbabit disita dan diarahkan tutup serta-merta.
Premis yang beroperasi tanpa lesen terbabit disita dan diarahkan tutup serta-merta.

MPS memaklumkan, operasi bersepadu melibatkan lebih 30 anggota daripada MPS, JAS, dan JAIS itu berlangsung dari jam 10.30 malam hingga 2 pagi tanpa sebarang halangan.

"MPS menegaskan bahawa pemantauan berkala akan terus dijalankan bagi membanteras aktiviti haram ini dan pemilik premis diingatkan untuk mematuhi syarat ditetapkan atau berdepan tindakan tegas," menurut pihak berkuasa tempatan itu.

Artikel Berkaitan:

.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!