Cucu didakwa curi kad ATM datuk, joli RM20,000

Izhan Syahmi (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa.
Izhan Syahmi (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Seorang pemuda dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa, atas tuduhan mencuri kad mesin juruwang automatik (ATM) milik datuknya.

Tertuduh, Izhan Syahmi Izhar Shapawi, 18, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa telah mencuri sekeping kad debit ATM Agrobank milikan Ahmad Jantan, 71, di sebuah rumah di Bukit Rambai pada jam 1.30 petang, 30 Mei lalu.

Izhan Syahmi (tengah) didakwa di Mahkamah Majistret di sini,pada Selasa atas tuduhan mencuri kad ATM datuk.
Izhan Syahmi (tengah) didakwa di Mahkamah Majistret di sini,pada Selasa atas tuduhan mencuri kad ATM datuk.

Pendakwaan itu dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda dan bagi kesalahan kedua atau kemudiannya hendaklah diseksa dengan penjara dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, sabit kesalahan.

Tertuduh dipercayai menggunakan kad ATM datuknya itu dengan membeli alat ganti motosikal selain barang kemas yang dianggarkan kerugian kira-kira RM20,000.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Amritpal Singh yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah dengan alasan ini merupakan kesalahan pertama tertuduh dan ibu tertuduh hadir sebagai penjamin.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dan menetapkan tarikh 16 Ogos depan sebagai sebutan semula kes.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!