Lelaki hina PM dihadapkan ke mahkamah minggu depan

KOTA BHARU - Seorang lelaki yang menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi aplikasi TikTok dijangka akan dihadapkan ke mahkamah pada minggu depan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, siasatan berhubung kes tersebut sudah selesai dan ketika ini pihaknya sedang menunggu laporan penuh daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut.
“Siasatan turut mendapati suspek tidak mewakili mana-mana parti politik," katanya semasa sidang akhbar di sini pada Rabu.
Menurut beliau, tindakan memuat naik video itu hanya bermotifkan peribadi.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan, seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan selepas memuat naik kandungan berunsur menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi akaun TikTok miliknya.
Selain itu, suspek didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas mendapati lelaki itu menyimpan video dan gambar lucah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

