Menunggu isyarat Majlis Raja-Raja

MESYUARAT Majlis Raja-Raja ke-269 yang akan bersidang pada 15 hingga 17 Julai ini dijangka lebih hangat susulan kemelut melibatkan kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.
Ini bukan sekadar mesyuarat berkala, tetapi detik penting dalam landskap perundangan negara yang kini sedang berdepan kekosongan jawatan tertinggi dalam institusi kehakiman.
Kemelut ini tercetus apabila Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersara wajib pada 2 Julai lalu. Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim pula bersara pada 3 Julai.
Hingga kini, tiada pengumuman rasmi dibuat oleh kerajaan mengenai pengganti mereka. Kekosongan ini amat jarang berlaku serentak dan menimbulkan persoalan besar dalam kalangan masyarakat dan komuniti perundangan.
Isu tersebut bertambah panas lagi apabila sembilan Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 7 Julai lalu mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim dan keputusan kes mahkamah yang kini mencetuskan kebimbangan terhadap kebebasan institusi kehakiman negara.
Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, kemelut berhubung pelantikan jawatan tertinggi badan kehakiman perlu diberi perhatian segera kerana situasinya kini dilihat mirip skandal video VK Lingam pada 2007 yang membabitkan cubaan mempengaruhi pelantikan Ketua Hakim Negara ketika itu.
Tambahan pula, beberapa tokoh politik turut lantang menyuarakan pandangan mereka berhubung isu berkenaan.
Tindakan itu hanya menambahkan tekanan dan keperluan kepada pelantikan yang bersih daripada sebarang pengaruh politik.
Pada Jumaat lalu, Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR turut melancarkan petisyen dalam talian dengan mengalu-alukan seluruh rakyat Malaysia untuk menandatanganinya sebagai tanda sokongan terhadap institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa.
Kemuncak polemik isu ini apabila sebahagian besar ahli Majlis Peguam Malaysia berhimpun di hadapan Istana Kehakiman pada Isnin bagi menyertai Perarakan Demi Mempertahankan Kebebasan Kehakiman (Walk to Safeguard Judicial Independence) yang bermula sekitar jam 2 petang.
Perarakan tersebut bertujuan menyerahkan memorandum empat tuntutan kepada Pejabat Perdana Menteri melibatkan isu kebebasan dan integriti badan kehakiman negara.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar juga hadir dalam perarakan berkenaan bagi menyatakan sokongan terhadap usaha mempertahankan kebebasan badan kehakiman.
Beliau menegaskan bahawa hak berhimpun secara aman adalah jaminan Perlembagaan Persekutuan dan turut didukung oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Isu tersebut turut dibincangkan dalam pertemuan tertutup Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dengan Anwar di Seri Perdana, Putrajaya pada Isnin.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan yang mengatakan polemik kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan itu akan diselesaikan minggu ini.
Menurut beliau, komitmen berkenaan disuarakan Anwar dalam pertemuan tersebut.
Dalam konteks isu berkenaan, Majlis Raja-Raja kini berada di posisi penting bukan sahaja untuk mengisi kekosongan jawatan utama dalam badan kehakiman, tetapi juga untuk menghantar isyarat kepada rakyat bahawa institusi kehakiman akan terus bebas, adil dan berintegriti.
Di bawah Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong melantik Ketua Hakim Negara atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Mengambil kira ketetapan tersebut, rakyat sudah pasti menunggu isyarat daripada Majlis Raja-Raja berhubung isu kemelut dalam badan kehakiman ini.
Tentunya, Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 pada Selasa akan menyaksikan sama ada polemik isu berkenaan akan berterusan atau diselesaikan dalam tempoh terdekat.
Dalam suasana negara yang semakin mencabar, kestabilan sistem perundangan tidak boleh dipandang remeh.
Semua mata kini tertumpu ke arah mesyuarat itu, menanti keputusan yang boleh memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

