Sabah FC masih dalam fasa pembentukan

Darren Lok (kanan) ketika berdepan Buriram dalam perlawanan Perisai Komuniti ASEAN 2025 di Stadium Rainbow, Pattani, pada Ahad. Foto Sabah Football Club
Darren Lok (kanan) ketika berdepan Buriram dalam perlawanan Perisai Komuniti ASEAN 2025 di Stadium Rainbow, Pattani, pada Ahad. Foto Sabah Football Club
A
A
A

JURULATIH Sabah FC, Alto Linus menegaskan skuad kendaliannya masih melalui fasa pembentukan pasukan menjelang saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2025/26 yang akan membuka tirai Ogos ini.

Malah tanpa berselindung Alto menegaskan kekalahan besar kepada kelab gergasi Thailand, Buriram United dalam aksi persahabatan terbaru sesuatu di luar jangkaan.

Biarpun begitu beliau menyifatkan perlawanan tersebut sebagai platform penting dalam menilai tahap kesediaan pasukan.

“Pertemuan ini amat berguna untuk menilai kelemahan dan kekuatan sedia ada. Kami berdepan antara kelab terbaik Asia Tenggara, dan itu mendedahkan aspek-aspek tertentu yang perlu diberi perhatian, khususnya dalam sistem bertahan dan transisi permainan,” katanya.

Sebagai rekod, Sabah tewas 2-8 kepada Buriram dalam perlawanan Perisai Komuniti ASEAN 2025 di Stadium Rainbow, Pattani, pada Ahad.

Jelas Alto, Rhinos hanya memulakan latihan pramusim kurang sebulan lalu dan baru mengharungi satu aksi persahabatan menentang Kasuka FC sebelum ini, menyebabkan tahap kecergasan pemain masih belum mencapai tahap optimum.

“Kita perlukan sekurang-kurangnya tiga atau empat lagi perlawanan persahabatan untuk benar-benar bersedia sebelum sepak mula liga,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Alto turut memuji prestasi beberapa pemain muda yang baru dinaikkan dari skuad Bawah 23 tahun, yang menurutnya menunjukkan peningkatan ketara dari aspek kematangan permainan dan komitmen ketika diberi peluang bersama skuad senior.

“Pemain muda ini beri reaksi positif dan saya gembira dengan perkembangan mereka setakat ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, dua tonggak utama pertahanan pasukan, Dominic dan Gabriel dijangka kembali pulih sepenuhnya daripada kecederaan dalam tempoh seminggu, sekali gus memberi suntikan tambahan kepada benteng pertahanan pasukan.

Mengulas prestasi tiga pemain import baharu Dean Pelekanos, Dane Ingham dan Ajdin Mujagic yang menyertai Sabah bagi musim ini, Alto menyatakan beliau berpuas hati dengan tahap semasa ketiga-tiga pemain itu.

“Mereka tunjuk potensi besar, namun tahap kecergasan dan keserasian bersama rakan sepasukan masih perlu ditingkatkan sebelum kempen liga bermula,” katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!