Hadiah saingan Liga A1 Semi-Pro berlipat ganda

Mohd Yusoff
Mohd Yusoff
A
A
A

LIGA A1 Semi-Pro bakal menjengah ke dimensi baharu apabila hadiah wang tunai meningkat sekali ganda kepada RM200,000 berbanding musim lalu.

Pengerusi Liga Bolasepak Amatur (AFL), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, suntikan kewangan tersebut bagi meningkatkan standard dan intensiti kejohanan pada musim 2025/26.

“Kami telah meningkatkan wang hadiah kepada RM200,000 untuk musim baharu. Ia adalah peningkatan sebanyak 100 peratus.

“Walaupun mungkin tidak banyak, namun ia adalah langkah untuk menyuntik semangat dan daya saing pasukan yang bertanding,” katanya.

Bagaimanapun di sebalik peningkatan jumlah hadiah, timbul pula persoalan penyertaan kelab profesional dan pasukan sokongan yang mencetuskan polemik tentang status separuh profesional liga tersebut.

Empat pasukan simpanan bertaraf tinggi ialah Johor Darul Ta'zim (JDT) II, Selangor FC II, Kelantan WTS FC dan Imigresen FC II.

“Namun keempat-empat pasukan ini tidak akan layak beraksi di Liga Super kerana bertaraf feeder,”ujar Mohd Yusoff.

Turut menyertai liga itu ialah Armed Forces FC, Malaysian University, Manjung City, Bunga Raya, Perlis GSA, UM-Damansara United, Machan dan pasukan amatur dari Korea Selatan, FC Seoul Phoenix.

Pendatang baharu iaitu bekas pasukan Liga Super, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Perak FC yang gagal memperoleh lesen kebangsaan turut menghangatkan liga berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Penyertaan mereka membawa pengalaman bertaraf tinggi dan kompetitif, namun mungkin mewujudkan saingan tidak seimbang dalam kalangan kelab profesional dan amatur.

Berdasarkan peraturan AFL, setiap pasukan perlu mempunyai sekurang-kurangnya 10 pemain yang dikontrak untuk layak sebagai separuh profesional.

Namun Mohd Yusoff yang juga timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengakui bahawa banyak kelab telah menurunkan skuad yang sepenuhnya profesional.

“Walaupun minimum setiap pasukan perlu memiliki 10 pemain berkontrak, namun beberapa pasukan telah menjadi sepenuh profesional.

“Perkembangan itu menyaksikan A1 seperti liga profesional, tetapi masih berstatus separuh profesional,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!