Virus politik lebih berbahaya

A
A
A

BERBANDING wabak politik yang sedang melanda Malaysia sekarang, wabak besar (pandemik) virus korona baharu atau klasifikasi saintifiknya Covid-19 yang melanda dunia tidaklah seteruk atau berbahaya seperti diuar-uarkan.

Sejak dahulu kala lagi, kekejaman yang disebabkan oleh manusia lebih berbahaya daripada mana-mana wabak penyakit yang disebabkan oleh virus.

Dalam zaman moden, wabak penyakit paling teruk iaitu demam selesema (influenza) tahun 1918 dianggarkan membunuh antara 20 juta hingga 50 juta orang.

Pada zaman silam, ada wabak yang dikatakan membunuh hingga 200 juta nyawa.

Bandingkan pula dengan wabak ciptaan manusia.

Perang Dunia Pertama (1914-1918), misalnya, dianggarkan telah mengorbankan sejumlah 22 juta nyawa manakala Perang Dunia Kedua (1939-1945) mengorbankan antara 70 juta hingga 85 juta nyawa.

Virus membunuh manusia sebagai sebahagian daripada proses kehidupan. Manusia dan mikro-organisma yang tergolong di antaranya bakteria, arkea, virus, protis dan kulat tidak dapat dipisahkan.

Ahli sains menganggarkan dalam badan setiap manusia ada 10 kali lebih banyak sel bukan manusia iaitu mikro-organisma berbanding sel manusia.

Artikel Berkaitan:

Manusia mati jasadnya menjadi tanah tetapi sesetengah mikro-organisma itu akan terus hidup.

Itulah virus ciptaan alam. Ada yang baik dan ada yang buruk tetapi semuanya adalah sebahagian daripada kehidupan manusia dan segala-gala yang menjalar di atas muka bumi ini.

Tetapi virus politik ciptaan para politikus dan jeneral perang kerana gilakan kuasa dan harta kekayaan membunuh secara automatik dan tanpa memilih mangsa.

Pada saat dunia dilanda wabak besar Covid-19, keadaan kita di Malaysia menjadi bertambah buruk akibat wabak politik yang berpunca daripada rampasan kuasa terhadap kerajaan pilihan rakyat.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipilih oleh rakyat jelata pada 9 Mei 2018 jatuh akibat konspirasi oleh sebahagian ahli Dewan Rakyat PH daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bersekongkol dengan UMNO, Pas dan beberapa buah parti Sarawak dan Sabah.

Walaupun sebuah kerajaan baharu atas nama Perikatan Nasional telah mengangkat sumpah dan Kabinet ditubuhkan, namun kesahihannya belum diuji kerana sidang Parlimen yang dijadualkan pada 9 Mac lalu ditunda kepada 18 Mei.

Buat sementara waktu ini, kerajaan yang diberikan jolokan kerajaan pintu belakang itu nampaknya sudah dilanda masalah.

Ahli Parlimen PKR yang keluar parti didakwa telah menyertai Bersatu. Bersatu pula berpecah dua. Sebahagian sokong keluar PH dan sebahagian lagi tidak sokong.

Ramai ahli UMNO dapat jawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional tapi mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Khamis lalu memberi kata dua kepada Perdana Menteri Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mereka tidak puas hati dengan pemilihan ahli UMNO untuk jawatan Kabinet. Mereka juga tidak bersetuju dengan pelantikan menteri kanan yang tidak kanan dan dengan kehadiran Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam Kabinet.

Ahli MKT yang lain pula berkata, penyertaan pemimpin UMNO dalam kerajaan Perikatan Nasional adalah atas dasar peribadi dan bukan parti kerana kerjasama yang diiktiraf oleh UMNO ialah Muafakat Nasional dengan Pas.

Justeru, saya tidak begitu panik mengenai Covid-19 berdasarkan nasihat pakar tetapi saya sangat bimbang dengan wabak politik cetusan pihak-pihak yang mengabaikan mandat yang rakyat jelata dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Mereka bagi mandat kepada PH bukan kepada Perikatan Nasional.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara