Nurul Izzah sertai perarakan peguam bela kebebasan kehakiman

Wan Saiful Wan Jan bersama Nurul Izzah Anwar ketika menyertai perarakan Perarakan Membela Kebebasan Kehakiman di Putrajaya pada Isnin. Foto Facebook Wan Saiful Wan Jan
Wan Saiful Wan Jan bersama Nurul Izzah Anwar ketika menyertai perarakan Perarakan Membela Kebebasan Kehakiman di Putrajaya pada Isnin. Foto Facebook Wan Saiful Wan Jan
A
A
A

PUTRAJAYA - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menyatakan sokongan terhadap usaha mempertahankan kebebasan badan kehakiman apabila turun menyertai Perarakan Demi Mempertahankan Kebebasan Kehakiman anjuran Majlis Peguam Malaysia, di sini pada Isnin.

Beliau menegaskan bahawa hak berhimpun secara aman adalah jaminan Perlembagaan Persekutuan dan turut didukung oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya turut bersama-sama Majlis Peguam Malaysia berarak bagi mempertahankan kebebasan badan kehakiman. Hak untuk berhimpun secara aman bukan sahaja dijamin oleh perlembagaan, malah didukung Perdana Menteri,” katanya kepada media.

Nurul Izzah yang hadir berbaju kurung ungu dilihat mesra berinteraksi dan bergambar dengan para peserta demonstrasi yang membawa sepanduk bertulis ‘Walk the talk, judicial independence’ sebagai simbol solidariti.

Menurutnya, semangat reformasi dan keadilan yang menjadi asas perjuangan PKR menuntut agar struktur kehakiman negara terus ditambah baik bagi memastikan ia kekal telus dan bertanggungjawab.

“Badan kehakiman yang bebas sangat penting untuk menghalang penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan, jemaah menteri dan pihak eksekutif. Malah, mahkamah juga berperanan menegur parlimen sekiranya undang-undang yang diperkenalkan bercanggah dengan perlembagaan atau bersifat menindas,” jelasnya.

Tambahnya, Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi berpelembagaan mempunyai tiga cabang utama iaitu eksekutif, legislatif dan kehakiman, yang perlu saling semak dan imbang antara satu sama lain bagi mengelakkan kuasa mutlak dikuasai mana-mana pihak.

Perhimpunan anjuran Majlis Peguam Malaysia itu diadakan bagi menyerahkan memorandum empat tuntutan kepada Pejabat Perdana Menteri, yang terletak kira-kira 2.5 kilometer dari Istana Kehakiman.

Antara tuntutan utama ialah mendesak pengisian segera kekosongan jawatan tertinggi badan kehakiman, pendedahan minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), serta penyelesaian menyeluruh terhadap isu pelantikan dan integriti institusi kehakiman.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Nurul Izzah menegaskan bahawa sesiapa yang bakal dilantik ke jawatan tertinggi kehakiman perlu bukan sahaja mempunyai kelayakan, tetapi turut memiliki tahap integriti moral yang tinggi dalam menjalankan amanah.

Beliau turut menggesa agar dakwaan berlakunya campur tangan dalam sistem kehakiman disiasat secara menyeluruh dan telus bagi memulihkan kepercayaan rakyat terhadap institusi perundangan negara.

“Dakwaan ini perlu disiasat secara telus dan bebas. Proses siasatan boleh dimulakan mengikut Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan dengan menubuhkan tribunal terdiri daripada sekurang-kurangnya lima hakim kanan.

“Langkah ini penting untuk memperkukuh kepercayaan umum terhadap institusi kehakiman dan sistem negara secara keseluruhan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!