Apple tutup kedai di seluruh dunia selama dua minggu

Sebuah kedai Apple di Grote Houtstraat di Haarlem, Belanda ditutup untuk memperlahankan penyebaran Covid-19. - AFP
Sebuah kedai Apple di Grote Houtstraat di Haarlem, Belanda ditutup untuk memperlahankan penyebaran Covid-19. - AFP
A
A
A

CALIFORNIA - Syarikat teknologi Apple menutup semua kedai di luar China sehingga 27 Mac dalam usaha untuk memperlahankan penyebaran koronavirus (Covid-19).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tim Cook berkata, firma itu belajar daripada langkah yang diambil di China apabila gergasi teknologi terbabit baru sahaja membuka semula kedainya di negara itu.

"Salah satu daripada pengajaran ini ialah cara yang paling berkesan untuk meminimumkan risiko penularan adalah mengurangkan kepadatan dan memaksimumkan jarak sosial.

"Oleh kerana kadar jangkitan baharu di tempat lain terus meningkat, kami mengambil langkah tambahan untuk melindungi ahli pasukan dan pelanggan kami," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, kedai dalam talian Apple akan terus dibuka, namun kakitangan pejabat di luar China akan bekerja dari jauh jika boleh.

Syarikat yang berpangkalan di California, Amerika Syarikat itu mempunyai kira-kira 500 kedai di 24 negara di seluruh dunia.

Meskipun kedai ditutup, Cook berkata, pekerjanya akan dibayar seperti biasa.

Apple juga telah memperluaskan polisi cuti untuk menampung keadaan kesihatan peribadi atau keluarga disebabkan oleh Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Ia termasuk menjaga orang tersayang, kuarantin mandatori atau menjaga anak kerana sekolah ditutup.

Selain itu, Apple turut menyumbang AS$15 juta (RM64 juta) untuk membantu memerangi pandemik.

Kesemua 42 kedai Apple di seluruh China telah dibuka semula selepas ditutup sejak 1 Februari lalu susulan virus yang tersebar dengan pantas di negara itu. - AFP