Sudahkah kita meminta maaf?

Tragedi demi tragedi menyayat hati yang berlaku di negara kita sejak kebelakangan ini sangat memberi kesan mendalam buat semua. Gambar hiasan 123rf.
Tragedi demi tragedi menyayat hati yang berlaku di negara kita sejak kebelakangan ini sangat memberi kesan mendalam buat semua. Gambar hiasan 123rf.
A
A
A

TRAGEDI demi tragedi menyayat hati yang berlaku di negara kita sejak kebelakangan ini sangat memberi kesan mendalam buat semua.

Ada 15 orang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang pergi meninggalkan ibu bapa dan rakan sekuliah dalam kemalangan membabitkan bas di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Gerik.

Ada lapan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang pergi selamanya meninggalkan ahli keluarga dan rakan setugas selepas trak dinaiki bertembung lori muatan batu.

Ada seorang anak yang ditinggalkan sendirian oleh ibu bapa dan adik-adiknya kerana kenderaan dinaiki terhumban dalam sungai.

Ada wakil rakyat yang pergi selamanya meninggalkan rakyat di kawasan seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Allahyarham Ishsam Shahruddin.

Membaca dan menonton kisah-kisah ini sudah cukup membuatkan kita bersedih, apatah lagi dengan ahli keluarga yang berdepan kehilangan insan tersayang ini.

Setiap peristiwa ini meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja kepada ahli keluarga, tetapi petugas yang berada di lapangan terutama pasukan penyelamat.

Namun, di sebalik kesedihan ini, ada juga yang langsung tidak berperikemanusiaan mengeluarkan kata- kata menggores perasaan.

Di ruangan komen media sosial, ada juga cacian dan makian atas nama pandangan peribadi dilemparkan kepada pihak-pihak tertentu kononnya membela mangsa.

Artikel Berkaitan:

Tak lupa juga insan-insan yang mengambil kesempatan melakukan perbuatan khurafat merosakkan iman.

Jika seseorang itu Islam, mereka mungkin lupa bahawa adanya malaikat kiri dan kanan mencatat segala amal kebaikan.

Dalam era digital yang serba pantas, setiap peristiwa boleh dikongsi dalam sekelip mata. Namun begitu kelajuan maklumat ini sering kali tidak diiringi dengan kewarasan hati dan adab yang sepatutnya.

Apa yang lebih menyedihkan ialah ketika ahli keluarga masih dalam fasa trauma dan berkabung, masyarakat seolah-olah berlumba untuk menjadi ‘paling awal’ memberikan komen walaupun bersifat menghukum, menghina atau mempersendakan.

Kita sering kali menganggap bahawa ruang digital ini tiada sempadan bahawa apa sahaja yang ditulis tidak akan memberi kesan selagi tidak disebut di hadapan manusia.

Namun realitinya, satu ayat yang tercetus di papan kekunci boleh mengundang penderitaan emosi kepada seseorang yang sedang berduka.

Inilah masa untuk kita bertanya pada diri, sudahkah kita meminta maaf kepada mereka yang telah kita lukakan dengan kata-kata kita?

Setiap pengguna media sosial harus sedar bahawa mereka adalah ejen penyebar mesej sama ada positif atau negatif. Justeru, kita tidak boleh meletakkan semua beban kepada pengendali platform atau pihak berkuasa semata-mata.

Mendidik diri untuk berfikir sebelum berkongsi adalah langkah paling asas. Bertanya kepada diri: “Adakah ini benar?” “Adakah ini perlu?” “Adakah ini baik?” adalah prinsip yang boleh menyelamatkan kita daripada menjadi sebahagian daripada masalah.

Sungguhpun al-Quran diturunkan lebih 1,000 tahun yang lalu, kandungannya masih relevan sehingga kini termasuklah ayat ke-6 Surah Al-Hujurat bagaimana ALLAH SWT berpesan di dalam firmanNya bahawa umat Islam perlu tabayyun atau bersikap hati-hati dengan cara meneliti dan mencari bukti yang berkait dengan isu mengenai sesuatu tuduhan atau hal yang menyangkut tentang identiti seseorang.

Betapa penting konsep tabayyun dalam era digitalisasi dengan maklumat yang sentiasa membanjiri alam maya tanpa sekatan bagi mengelakkan umat manusia terkeliru dan terpedaya terhadap informasi tidak sahih.

Hari ini, tidak ada ruginya untuk kita rendahkan ego dan meminta maaf. Sekurang-kurangnya dalam hati, kita menginsafi bahawa setiap kata-kata itu bukan sahaja boleh membunuh semangat, tetapi juga akan dipersoal di akhirat.

Jadilah warganet yang berakal, berhati dan beragama.

Sebelum jari kita menari di papan kekunci, tanya dulu diri kita, “sudahkah aku meminta maaf?”

*Saifullah Ahmad ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Perak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!