Proses baik pulih jalan runtuh di Kampung Tanjung, Batu Rakit dijangka siap Oktober depan

KUALA NERUS – Kerja-kerja membaik pulih jalan dan tebing yang runtuh di laluan Jalan Mengabang Telipot–Batu Rakit (Pantai) di sini kini mencatat kemajuan fizikal sebanyak 72.4 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Oktober depan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek pembaikan itu dilaksanakan susulan kejadian runtuhan jalan sepanjang 280 meter yang berlaku awal tahun ini akibat cuaca buruk ketika musim Monsun Timur Laut.
Menurutnya, projek itu mula dilaksanakan oleh kontraktor SR Tech Resources sejak 8 April 2025 dan dijadualkan siap pada 7 Oktober depan.
"Setakat Julai ini, kemajuan fizikal projek ini telah mencapai 72.4 peratus iaitu 18 hari lebih awal daripada jangkaan manakala kemajuan kewangan pula berada pada paras RM3.03 juta daripada jumlah kos projek keseluruhan sebanyak RM4.95 juta," katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau tapak projek berkenaan di Laluan T145 Jalan Mengabang Telipot-Batu Rakit (Pantai), Kampung Tanjung, Batu Rakit di sini pada Ahad.
Hadir sama, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Terengganu, Ir Dr Hasli Ibrahim.
Menurut Alexander, prestasi semasa projek tersebut amat memuaskan dari segi pelaksanaan kerja serta pengurusan kewangan selain memenuhi jadual ditetapkan.
Katanya, antara skop utama kerja yang sedang giat dilaksanakan termasuklah pembersihan runtuhan, kerja-kerja geoteknikal, pembinaan dinding penahan, pemasangan sistem geotekstil, kerja tambakan pasir dan penstabilan struktur tanah.
"Semua kerja ini dilakukan secara teliti bagi memastikan ketahanan dan keselamatan infrastruktur ini untuk jangka panjang," ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) akan terus memantau pelaksanaan projek tersebut supaya ia disiapkan mengikut spesifikasi dan tempoh yang telah ditetapkan.
"Penduduk sekitar dan pengguna jalan diminta supaya terus memberikan kerjasama serta mematuhi segala arahan keselamatan yang dikeluarkan sepanjang tempoh pembinaan.
"Kita amat menghargai kesabaran dan sokongan rakyat dalam memastikan kemudahan ini dapat dikembalikan demi keselesaan bersama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
