JKM kesan ibu kandung Nur Aysah

BESUT – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Besut sedang mengesan ibu kandung kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dikenali sebagai Nur Aysah.
Timbalan Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Besut, Norizawati Mamat berkata, kanak-kanak itu dipercayai dilahirkan di Kluang Specialist Maternity Centre, Johor pada 25 Julai 2017.
"Pihak JKM menerima rujukan kes daripada penjaga yang memaklumkan bahawa kanak-kanak ini telah diabaikan oleh ibu kandung.
"Hasil siasatan awal mendapati Nur Aysah diserahkan kepada sepasang suami isteri di Rompin, Pahang pada 27 November 2017, ketika berusia lima bulan tanpa sebarang dokumen penyerahan rasmi daripada ibu kandungnya," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Beliau berkata, kanak-kanak itu kini berada di bawah jagaan Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) di daerah Besut.
"Mahkamah Majistret Daerah Besut telah mengeluarkan Perintah Jagaan Sementara di bawah Seksyen 19(2), Akta Kanak-Kanak 2001 pada 24 Jun 2025 bagi menempatkan Nur Aysah di bawah penjagaan OYLS bermula 24 Jun hingga 24 Julai depan sementara siasatan lanjut oleh Pelindung dijalankan.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai ibu kandung kepada kanak-kanak berkenaan diminta menghubungi Pelindung JKM Besut, Noradawiah Ab Manaf di talian 09-6956042 atau 09-6953951," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
